SHAH ALAM - Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah meluluskan operasi Boeing 737-8 dan Boeing 737-9 di Malaysia selepas digantung pada Mac 2019.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chester Voo berkata, arahan terbaharu tersebut adalah untuk pengendali udara Malaysia dan asing yang berhasrat melakukan penerbangan komersial dengan pesawat Boeing 737 Max di dalam atau luar ruang udara negara ini.
Menurutnya, CAAM telah mengawasi proses persetujuan dan kerja-kerja menyeluruh yang akan dilakukan semua pihak terlibat terutama daripada Syarikat Penerbangan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).
"CAAM mengiktiraf rekaan FAA sebagai ‘State Of Design’ dan menerima syarat-syarat perkhidmatan kembali yang komprehensif ditetapkan oleh FAA untuk Boeing 737 Max.
"Semua operator perlu mematuhi syarat-syarat dinyatakan di dalam arahan keselamatan CAAM 01/2021 sebelum penerbangan komersial pertama dilakukan Boeing 737 Max di dalam atau luar ruang udara Malaysia.
"CAAM yakin bahawa semua pesawat yang beroperasi ke Malaysia akan mematuhi semua peraturan, teknikal dan keperluan ujian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Chester berkata, CAAM akan terus memantau keadaan dan memastikan pematuhan ketat serta jika terdapat sebarang pelanggaran, ia akan ditangani dengan lebih serius.
Pada 12 Mac 2019, CAAM menggantung semua penerbangan keluar masuk menggunakan Boeing 737 Max 8 dari negara ini berkuat kuasa serta-merta.
Penggantungan tersebut berkuat kuasa sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.