SEREMBAN - Replika tulisan 'Den Love Nilai' yang menjadi mercu tanda di Dataran Nilai di sini dicemari dengan kegiatan vandalisme.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, pihaknya menerima aduan mengenai perbuatan menconteng replika tersebut pada pagi Khamis.
"Bukan sahaja replika mercu tanda itu yang diconteng, tetapi di bahagian tembok kawasan itu juga terdapat tulisan berunsur lucah dilakukan individu tidak bertanggungjawab.
"Saya kesal dengan perbuatan tersebut. Sepatutnya kawasan ini dipelihara dan dijaga secara bersama, bukan melakukan perbuatan tidak senonoh seperti ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Arul Kumar berkata, beliau sudah meminta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di sekitar kawasan tersebut untuk mengesan pelakunya.
Beliau yang juga Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri berkata, tindakan undang-undang perlu dikenakan kepada mereka yang terlibat agar menjadi pengajaran kepada orang lain.
"Bagi tindakan segera, saya telah meminta MBS mengecat semula tembok dan memadamkan semula contengan di replika berkenaan.
"Perbuatan ini sangat dikutuk. Kita perlu mengesan individu yang tidak bertanggungjawab ini secepat mungkin dan kenakan tindakan tegas perlu diambil," ujar beliau.