Kereta buruk sarang aedes

Iklan
Hambali dan penduduk menunjukkan kenderaan lama yang dibiarkan tersadai.

JOHOR BAHRU - Bukan sahaja mencemarkan pandangan malah keadaan kereta buruk yang sengaja ditinggalkan di perumahan Taman Sinaran Kempas, di sini, turut menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes.

Malah keadaan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu dilihat semakin serius dan menjejaskan tahap kebersihan di kampung berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Kampung Kempas, Hambali Munadi berkata, keadaan berpunca apabila terdapat pengusaha bengkel kenderaan di kawasan berkenaan sesuka hati meletakkan puluhan kenderaan di hadapan rumah penduduk.

"Terdapat kenderaan lama yang diletakkan di tapak kuil mengakibatkan pengurusan kuil tidak mampu membersihkan kawasan berkenaan sejak dua bulan lalu.

Iklan

"Kita khuatir perkara ini terus berlaku hingga ia boleh meningkatkan risiko penularan wabak denggi," katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, Hambali berkata, pihaknya juga kecewa dengan segelintir penduduk yang menjadikan rumah sebagai tempat meletakkan barangan kitar semula.

Iklan

Menurutnya, pihaknya menerima aduan berkaitan pembiakan nyamuk selain tikus dipercayai berpunca daripada aktiviti pengumpulan barangan kitar semula.

"Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur, selagi penduduk dibenarkan untuk tinggal di kawasan taman berkenaan yang menjadi rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), soal kebersihan perlu diberi tumpuan.

"Diharap pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan juga mengambil tindakan sesuai bagi mengelakkan keadaan perumahan itu semakin buruk serta mengancam kesihatan serta keselamatan penduduk," katanya.

Sementara itu, Biro Pemantapan Spiritual Pengurusan Komuniti Kampung Kempas, T Surendranraj berkata, pihaknya sudah memberi peringatan kepada pengusaha bengkel mahupun penduduk yang menjadikan rumah sebagai tempat mengumpul barangan kitar semula berulang kali namun tiada tindakan dilakukan.

"Mereka masih berdegil dan enggan bekerjasama. Kita harap pihak berkaitan dapat turun padang dan menyelesaikan segera permasalahan yang berlaku ini,” katanya.