SHAH ALAM - Institusi keluarga perlu memainkan peranan penting ke arah nilai murni dalam masyarakat supaya dapat memupuk benci rasuah dan membina keluarga yang utuh dan berintegriti.
Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr Sabariah Baharun berkata, keluarga yang tidak mempunyai asas yang kukuh boleh membawa kepada penyakit sosial dalam kalangan mereka.
"Kalau kita lihat di Malaysia, amalan rasuah akan memberi kesan bukan sahaja kepada kepimpinan tetapi untuk mendapatkan pekerjaan pun melalui orang dalam.
"Jadi, untuk melahirkan satu keluarga yang utuh mereka perlu kuat dan mempunyai ketahanan yang tinggi menerima asakan (rasuah) dari luar.
"Kalau ini dapat dibentuk, InsyaALLAH akan menjadi masyarakat yang sejahtera dan terhindar daripada penyakit sosial,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Sabariah berkata, IKRAM menerusi Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh (KFIKU) juga memperkenalkan kempen Lelaki Hero Keluarga untuk memartabatkan peranan ketua keluarga.
Menurutnya, kempen tersebut membawa peranan lelaki sebagai pelindung yang memastikan keluarga selamat daripada jenayah rasuah.
"Ketua keluarga yang baik tidak akan membawa masuk perkara yang tidak baik (rasuah) sehingga menjadi punca masalah penyakit sosial.
"Sesuai dengan firman ALLAH SWT dalam ayat al-Quran bahawa lelaki itu pelindung kepada keluarga,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kepincangan kepimpinan yang berlaku sama ada sekecil-kecil institusi disebabkan oleh jenayah rasuah.
"Kalau kita lihat dari sudut pelaksanaan di pelbagai peringkat seperti yang paling tinggi akan menyebabkan berantai-rantai maknanya semua orang simpan pengikut berdasarkan amalan rasuah ini.
"Individu atas memerlukan orang bawah untuk memberi rasuah begitu sebaliknya. Jadi, perkara ini tidak akan putus selagi rakyat sanggup memilih pemimpin untuk mendapatkan imbalan,” jelasnya.