Malaysia jangan pinggir kerajaan Taliban

Iklan
Delegasi Taliban bertemu dengan wakil pemerintah Afghanistan pada awal minggu lalu. - Foto AFP

SETAKAT ini, Malaysia belum lagi mengiktiraf kerajaan baharu Afghanistan yang dipimpin oleh Taliban.

Pada Rabu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati dan memantau perkembangan di negara itu terutama di Kabul.

Iklan
Iklan

Menurut Saifuddin, pertimbangan wajar harus diambil kerana ia melibatkan pelbagai faktor dalam hubungan diplomatik.

Apa pun alasannya, mahu tidak mahu, Malaysia harus bersiap sedia untuk mengiktiraf kerajaan Taliban. Malah, Putrajaya perlu mengambil langkah proaktif untuk berinteraksi dengan Kabul.

Iklan

Selain itu, kerajaan Malaysia seharusnya mengadakan hubungan langsung dengan Afghanistan dan berusaha membantu memulihkan serta membangunkan negara tersebut yang porak-peranda disebabkan oleh perang diketuai Amerika Syarikat (AS) selama dua dekad.

Sikap prejudis terhadap Taliban yang dicetuskan oleh naratif kuasa Barat tidak seharusnya membantutkan negara-negara Islam termasuk Malaysia untuk menghulurkan bantuan.

Iklan

Sekarang adalah masa yang tepat berinteraksi dengan Taliban dan bergerak ke hadapan demi menjamin keselamatan serantau.

Kerajaan Malaysia juga perlu segera mengambil inisiatif menyeru dan memanggil negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan sidang atau mesyuarat khas.

Ini kerana Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berwibawa dan berkecuali mempunyai pengaruh tersendiri untuk membangunkan konsensus OIC dalam perkara berkaitan dengan masa depan Afghanistan.

Memetik kenyataan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, rundingan dua hala dengan Taliban perlu diadakan bagi memahami dan mengetahui harapan dan jangkaan mereka.

Sebelum ini, Qatar juga menyatakan kebimbangan bahawa tindakan meminggirkan Taliban hanya akan menyebabkan ketidakstabilan berterusan di Afghanistan.

Setakat ini, belum ada lagi negara yang mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan sah negara itu meskipun dua kuasa besar dunia iaitu China dan Rusia dilapor masih mengekalkan kedutaan mereka di ibu kota Kabul.