Bos Gaurus buru tiga mata di Stadium Hang Jebat

Iklan
Sebahagian pemain Perak FC menjalani latihan sebelum berlepas ke Melaka. foto: fb Perak FC

PERAK FC bakal menurunkan barisan terbaiknya dalam usaha meraih tiga mata apabila berdepan Melaka United FC di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat.

Menurut Ketua Jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil, kesemua pemain begitu bersemangat menjelang perlawanan itu dalam usaha merealisasikan misi tiga mata The Bos Gaurus.

Iklan
Iklan

"Sebagai makluman, kesemua pemain kini dalam keadaan kecergasan yang baik dan bersedia untuk diturunkan kecuali Danish Haziq yang menjalani penggantungan perlawanan.

"Selain itu, pemain-pemain Perak FC yang lain menunjukkan komitmen serta begitu bersemangat ketika menjalani latihan.

Iklan

"Senario itu memberikan gambaran bahawa pemain-pemain telah bersedia perlawanan kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, Perak FC kini berada di kedudukan kedua terakhir liga dengan hanya meraih 13 mata daripada 20 perlawanan dan memerlukan enam mata maksimum daripada dua aksi terakhir musim bagi mengelak tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Iklan

Berdasarkan jadual, skuad Kejor Yeop Skor itu bakal berdepan Sabah FC pada aksi terakhir di Stadium Perak, 12 September depan.

Tambah Shahril Nizam, biarpun tidak memiliki pemain-pemain tonggak dalam pasukan ketika ini, namun kesemua pemain-pemain sedia ada ketika ini menunjukkan keyakinan bagi berdepan lawan.

"Semua pun tahu, kita sudah tidak memiliki ramai pemain tonggak ketika ini, tetapi bagi saya, semua pemain yang ada telah menunjukkan keyakinan yang baik pada perlawanan-perlawanan terdahulu.

"Oleh sebab itu, saya yakin, mereka akan terus berikan yang terbaik dan seterusnya memastikan kemenangan kali ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui berdepan Perak FC diibaratkan seperti aksi ‘Hari Penentuan’ buat kedua-dua pasukan.

Malah katanya, tiga mata daripada perlawanan itu juga penting untuk menyelamatkan kedudukan kelab tersebut ketika ini.

"Melaka United dan Perak FC masing-masing nak kejar tempat ke-10 liga, biarpun kita tahu ada lagi dua pasukan, tetapi sebenarnya dua pasukan inilah yang masing-masing nak kejar tempat ke-10.

"Kita akan akan buat percaturan terbaik berikutan ketiadaan beberapa tonggak yang mengalami kecederaan dan penggantungan ketika ini. Kita juga akan turunkan pemain-pemain muda yang memberikan impak baik dalam perlawanan terdahulu,” katanya.