SHAH ALAM - Golongan yang terlibat dengan rasuah perlu kembali ke pangkal jalan jika mahukan kehidupan yang tenang dan aman damai seperti sebelum ini.
Pegawai Eksekutif Insurans, Ahmad Zahid Hassan, 51 berkata, percaya atau tidak, golongan perasuah akan sentiasa diselubungi perasaan takut, waswas dan berasa seperti diperhatikan walaupun kegiatan tidak sihat itu belum dihidu oleh pihak berkuasa.
"Sikap tidak tenang ini terbit dalam jiwa kerana mereka melakukan sesuatu perkara yang tidak baik dan Islam melarang umatnya terjebak dalam kancah ini.
"Bahana rasuah sangat besar. Ia boleh merosakkan keperibadian anak bangsa, menghancurkan kemajuan negara termasuk institusi keadilan dalam sesebuah negara," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, disebabkan itu, seseorang itu berfikir sebelum melakukan sesuatu yang bertentangan dengan agama dan norma kehidupan.
"Mana-mana individu yang pernah terpalit dengan rasuah pasti menyesal sehingga akhirnya.
"Jadi menyesal lah sebelum terlambat kerana bukan hanya si pelaku yang mendapat balasan malah dia turut mengheret seluruh keluarganya sekali," katanya.
Sementara itu, pemandu lori, Khairulzaman Abd Samad, 37 berkata, rasuah berlaku apabila ada pihak yang membuat penawaran bagi mencapai matlamat mereka.
"Saya berikan contoh yang berlaku di depan mata seperti, lambakan warga asing yang datang ke negara ini tanpa permit dan aktiviti pencerobohan hutan simpan. Semua ini pasti tidak akan berlaku jika tidak ada pihak yang mahukan sesuatu bukan hak mereka.
"Kerana itu, mereka menawarkan sesuatu mungkin dalam bentuk duit atau sebagainya sehingga akhirnya ramai yang terjebak," katanya.
Menurutnya, jika kerajaan tidak peka dan tidak membanteras aktiviti tidak sihat ini secepat mungkin berkemungkinan besar kesan kerana rasuah negara akan tergadai.
Bagi seorang kerani, Zainal Abidin Bakri, 53 berkata, rasuah turut memberi kesan besar dalam sesebuah organisasi dan mampu melumpuhkan fungsi sebuah syarikat sehingga menyebabkan pentadbiran menjadi tunggang-langgang.
"Selain itu ia juga akan menjejaskan imej syarikat ini sendiri sekali gus menyebabkan rakan kongsi tidak percaya untuk melabur dengan syarikat ini lagi.
"Kebiasaannya, apabila rasuah berlaku, kualiti barang yang dikeluarkan tidak akan mengikut kehendak pelanggan lagi," katanya.
Zainal Abidin berkata, apabila rasuah berlaku dalam kerajaan maka ia akan melahirkan pekerja yang tidak amanah dalam menjalankan tugas.
"Pengurusan negara akan mundur kerana perasuah berada dalam organisasi ini. Malah nama negara turut tercalar sehingga pelabur takut untuk melabur dalam negara yang banyak rasuah.
"Ada yang mendakwa situasi yang berlaku di Raub, Pahang (tanah kerajaan diceroboh begitu saja) sebab ada perasuah dalam kerajaan dan selagi perasuah ada dalam sesuatu organisasi, kemajuan sesebuah negara atau syarikat akan terbantut," katanya.
Sementara itu, pegawai pemasaran, Zain Ibrahim, 54 berpendapat rasuah perlu dibanteras di semua lapisan masyarakat jika mahu negara bebas daripada gejala tidak sihat ini.
"Usaha membasmi rasuah seharusnya menjadi tanggungjawab semua rakyat Malaysia dan kita tidak boleh bertolak ansur dalam menangani gejala rasuah ini.
"Walau siapa pun individu atau pihak berkenaan apabila terlibat dengan rasuah pihak penguat kuasa perlu siasat sehingga ke akar umbi," katanya.
Mengulas mengenai sikap pelaku rasuah yang melakukan secara terang-terangan, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, perkara itu berlaku kerana pelaksanaan undang-undang yang tidak diperketatkan.
"Undang-undang ada tetapi tidak ketat menyebabkan pelaku merasakan walaupun apa yang dilakukan itu salah tetapi tiada siapa yang akan menahannya.
"Rasuah di Malaysia semakin menjadi-jadi, kerana itu kita perlu peranginya secara habis-habisan dan jangan biarkan sesiapa pun terlepas," ujarnya.