JURULATIH skuad badminton para negara, Datuk Rashid Sidek berharap pemain perseorangan lelaki, Cheah Leik Hou dapat meneruskan kecemerlangannya untuk mara ke final acara badminton S5 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Menurut Rashid, Leik Hou berada di landasan yang terbaik untuk beraksi di pentas final dan seterusnya menepati sasaran untuk memenangi emas bagi acara badminton kali ini.
"Leik Hou memang sudah dijangka untuk mara ke separuh akhir dan sasaran kita kali ini adalah untuk dia muncul juara kumpulan dahulu.
"Sekarang Leik Hou berada di landasan yang betul untuk lakukan yang terbaik dengan mengalahkan lawannya satu persatu hingga ke final.
"Insya-ALLAH, kita akan berusaha untuk menang emas kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Untuk rekod, Leik Hou yang juga pemain para ranking kedua dunia, mengesahkan slot ke separuh akhir setelah menewaskan pemain Chinese Taipei, Jen Yu Fang 21-13, 21-9 pada Khamis dan Eldakrory Ahmaed Magdy Amin (Mesir) 21-3, 21-2 Rabu lalu.
Leik Hou bakal berdepan pemain badminton para Jepun, Taiyo Imai bagi saingan terakhir peringkat Kumpulan B, pada Jumaat.
Sementara itu, Rashid mengakui laluan buat seorang lagi pemain badminton para negara, Didin Taresoh pada Sukan Paralimpik Toky0o 2020 memang agak sukar apabila diundi untuk berdepan dengan pemain-pemain di ranking yang jauh lebih baik berbanding dirinya.
Justeru katanya, disebabkan perkara berkenaan laluan buat Didin untuk ke separuh akhir agak sukar dan menyaksikannya tewas pada kedua-dua perlawanan di peringkat kumpulan.
"Pada pendapat saya, laluan Didin ke separuh akhir memang sangat sukar kerana lawan yang dihadapinya berada pada ranking yang jauh lebih tinggi berbanding dirinya. Namun, biarpun sukar dia telah berjaya memberikan aksi yang terbaik kali ini,” katanya.