Ikut peraturan, disiplin penting dalam sukan

Iklan
Ziyad ketika beraksi dalam acara lontar peluru F20 (kategori masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada Selasa. Foto Bernama

TRAGEDI yang menimpa atlet olahraga negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Stadium Olimpik, Tokyo pada Selasa lalu boleh dielakkan sekiranya pegawai pengiring atlet berusia 31 tahun tersebut lebih berdisiplin dan bersikap profesional dalam tugasnya.

Menurut penganalisis sukan Dr Pekan Ramli, Ziyad sepatutnya lebih kerap dikawal selia dan sering diingatkan atau dimaklumkan perkara berkaitan peraturan dan disiplin teknikal pertandingan yang merupakan dua perkara utama penting dalam sukan.

Iklan
Iklan

"Saya agak terkejut dalam satu temasya besar dunia khasnya untuk Paralimpik dan berlaku pula pada atlet kita di mana pada ketika seluruh rakyat Malaysia begitu teruja untuk meraikan kejayaan pingat emas kedua negara insiden memalukan sebegini boleh berlaku.

"Sejujurnya bagi saya situasi ini merupakan malapetaka buat arena sukan negara di peringkat antarabangsa, tambahan pula Ziyad tampil dengan reputasi sebagai penyandang juara edisi Para Rio 2016.

Iklan

"Sepatutnya pegawai yang bertanggungjawab terhadap Ziyad seharusnya lebih peka, malah mempunyai kesedaran lebih besar dengan meletakkan situasi mereka sendiri dalam mengendalikan atlet orang kelainan upaya seolah-olah dia juga bertanding sama dalam acara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, Ziyad sebelum ini memecahkan rekod dunia miliknya sendiri sebanyak tiga kali dalam usaha memenangi emas, sebelum penyertaannya dibatalkan dan rayuannya ditolak panel juri berikutan kelewatan memasuki bilik menunggu di Stadium Olimpik, pada Selasa lalu.

Pekan

Iklan

Jelas Pekan lagi, kerugian tidak hanya buat Ziyad, tetapi juga buat negara apatah lagi beliau yang telah menjalani latihan sejak beberapa tahun dalam situasi berdepan pandemik Covid-19, dinafikan pencapaiannya dengan cara teknikal sedemikian.

"Dan paling malang dan menyedihkan lagi adalah Ziyad tidak menang sebarang pingat langsung dalam acara yang menjadi sandaran pingat emas pada temasya kali ini.

"Dalam konteks sebenar sepatutnya golongan inilah patutnya diselia atau ditatang bagai minyak yang penuh dan dibantu serta dipermudahkan urusan mereka semasa mengharungi temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kali ini.

"Persoalan sekarang adalah di mana pegawai yang sepatutnya mengiringi mereka atau setidak-tidaknya mengingatkan atlet Paralimpik kita dalam perkara yang berkaitan dengan peraturan teknikal ini....mana pegawai ini, mengapa tiada sebarang komen, atau memang tiada pegawai yang spesifik bertanggungjawab terhadap Ziyad? katanya.