SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Rangka Kerja Pengawasan (RKP) pada Jumaat sebagai asas kepada kawalan tadbir urus dalam usaha memastikan TH dapat menunaikan mandat pengurusan haji bertaraf dunia dengan lebih berkesan dan lestari
Pengerusinya, Tan Sri Md Nor Yusof berkata, pelancaran RKP ini juga berlandaskan kepada konsep Maqasid Syariah yang merangkumi lima prinsip utama iaitu perlindungan agama, nyawa, akal, harta benda dan generasi akan datang.
"Sebagai institusi Islam yang menguruskan simpanan deposit umat Islam Malaysia, TH bertanggungjawab memastikan kami sentiasa menambah baik cara untuk menunaikan amanah ini.
"Pengenalan RKP ini adalah sebagai panduan utama bukan sahaja kepada pemimpin dan warga pada hari ini, malah untuk para pemimpin dan warga kerja TH yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Md Nor berkata, dengan pengalaman lebih 58 tahun dalam operasi patuh syariah, TH harus memastikan aspek kelestarian untuk jangka masa panjang.
"Justeru, TH komited untuk menerapkan prinsip Maqasid Syariah dalam semua aktiviti harian yang dilakukan selain memastikan anggota lembaga, panel pelaburan, pengurusan kanan dan wanga kerja sentiasa mendokong empat prinsip utama,” katanya.
Beliau berkata, empat prinsip utama itu membabitkan nilai dan prinsip Islam, kepimpinan beretika yang berkesan, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang berkesan serta akauntabiliti kepada pihak berkepentingan.
Katanya, sempena pelancaran RKP ini juga, pelbagai program dan aktiviti dalaman akan dilaksanakan dengan penglibatan warga kerja dalam usaha memperkuatkan tadbir urus korporat TH.