'Saya tak jual tudung Fazura'

Iklan
Noor Fadilah menunjukkan laporan polis dan gambarnya yang disalah guna scammer membabitkan jualan Tudung Fazura.

MANJUNG - Seorang pengasas produk kecantikan menafikan beliau terlibat dalam aktiviti penipuan menjual Tudung Fazura sepertimana didedahkan di media sosial, Rabu lalu.

Noor Fadilah Mohamad, 34, berkata, penipuan yang dikaitkan dengan dirinya itu dilakukan individu lain yang telah menyalahgunakan gambar dengan menyamar sebagai dirinya di aplikasi Instagram dan WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi memperdaya orang lain, individu berkenaan turut dikesan membuka akaun bank atas nama yang hampir sama dengan dirinya iaitu Pn Noor Fadilah dan menggunakan nombor telefon seakan sama dengannya.

"Saya dah semak dan saya dapati, gambar yang digunakan itu merupakan gambar profil saya di Facebook yang dimuat naik beberapa bulan lalu.

Iklan

"Saya hanya menjalankan perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan dengan menjual barang-barang dari China sejak lebih dua tahun lalu dan sekitar enam bulan lepas saya memulakan penjualan produk kecantikan jenama sendiri pula, itu pun menggunakan akaun bank syarikat iaitu ASKED Enterprise dan bukan akaun peribadi.

"Sepanjang tempoh ini, saya tak pernah menjual tudung termasuklah tudung Fazura, jadi saya agak terkejut apabila ramai orang mengaitkan saya dengan kes itu," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Iklan

Ibu kepada tiga cahaya mata itu menyedari perkara itu sebaik dimaklumkan rakannya pada 30 Ogos lepas dan sehari selepas itu segera membuat laporan polis untuk menafikan penglibatan beliau.

Bagaimanapun dirinya terkilan dan kesal apabila gambarnya yang disalah guna itu telah tular dan dikongsi di media sosial tanpa usul periksa hingga membuatkan dirinya dituduh mengambil kesempatan menipu duit orang ramai atau scammer.

"Walaupun saya tidak bersalah, tetapi penularan gambar itu membuatkan saya sedih kerana dituduh sebagai penipu.

"Saya harap dengan pendedahan ini dapat membersihkan semula nama dan perniagaan saya, kalau boleh jangan tular lagi gambar dan padamlah semua hantaran berkaitan perkara itu di media sosial," katanya.

Pada 1 September lepas, media melaporkan pelakon, Fazura, 38, menerusi perkongsian dalam InstaStorynya mendedahkan, ada pihak cuba mengambil kesempatan menipu orang lain menerusi jualan tudung keluarannya, Tudung Fazura.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu turut menunjukkan wajah si pelaku dan meminta pelaku supaya bertaubat dan memulangkan kembali semua wang pembeli yang ditipunya.

Mengulas perkara itu, Noor Fadilah berkata, pihak Fazura sudah menghubunginya dan menerima penjelasan diberikan selain turut meminta membuat video bagi menjelaskan perkara sebenar.

"Ini adalah kejadian kedua saya dikaitkan dengan kes scammer seperti ini, kali pertama dahulu juga melibatkan penjualan tudung daripada keluaran Liyana Rahman dan saya telah pun membuat laporan polis.

"Saya harap mana-mana individu yang terlibat dalam penipuan ini tampil membuat laporan polis agar tindakan lanjut dapat diambil oleh pihak berkuasa," katanya.