Akta lompat parti mungkin tidak sah di mahkamah

Iklan
Dr Muhammad Fathi

SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan akta khas untuk menghalang lompat parti berkemungkinan besar akan diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ini kerana kedudukan akta lebih rendah daripada Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika akta itu diperkenalkan maka ia juga terdedah kepada risiko dibatalkan oleh mahkamah atas alasan kebebasan berpersatuan, terutamanya jika ia dibuat berasaskan keahlian parti.

"Mahkamah pernah mengisytiharkan peraturan yang menghalang lompat parti di dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Iklan

"Pada tahun 1991, Perkara 31A telah ditambah di Kelantan bagi menetapkan bahawa jika mana-mana ahli Dewan Negeri yang keluar daripada parti politiknya, dia hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong,” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika itu, terdapat dua ADUN dari Parti Semangat 46 iaitu Nordin Saleh dan Wan Najib Wan Mohamad telah lompat menyertai UMNO sebelum jawatan mereka dilucutkan

Iklan

"Pilihan raya kecil dilaksanakan dan mereka bertanding menjadi calon UMNO namun kalah kepada calon Semangat 46.

"Tetapi, mereka mencabar di mahkamah dan akhirnya keputusan menyebelahi mereka berdua dan memutuskan bahawa Perkara 31A Perlembagaan Kelantan itu adalah terbatal kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, berdasarkan logik, seseorang wakil rakyat tidak wajar dihukum semata-mata kerana bertukar persatuan.

Jelasnya, sebagaimana yang diketahui parti-parti politik sekarang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 sebagai satu entiti pertubuhan atau persatuan, sebagaimana pertubuhan-pertubuhan lain.

"Tambahan pula keanggotaan ahli Parlimen diperuntukkan melalui Perlembagaan. Agak ganjil jika keanggotaannya boleh dibatalkan hanya melalui akta biasa.

"Sebenarnya Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan sendiri mempunyai peruntukan berkaitan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen, iaitu antaranya kerana faktor menjadi warga negara asing, disabitkan kesalahan jenayah, menjadi gila, bankrap dan seumpamanya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, lompat parti juga tidak sesuai dikategorikan sebagai kesalahan pilihan raya yang boleh menjadikan anggota Dewan Rakyat hilang kerusi kerana ia berlaku di luar proses pilihan raya.

Oleh itu, Muhammad Fathi mencadangkan cara terbaik untuk menangani budaya lompat parti ialah melalui pindaan Perlembagaan.

"Sepatutnya asas kepada kawalan lompat parti bukannya keahlian dalam parti, tetapi penggunaan simbol sewaktu dicalonkan dalam pilihan raya.

"Seseorang wakil rakyat yang memakai simbol dacing milik Barisan Nasional misalnya, perlu kekal menyokong BN dan tidak boleh keluar dari BN atau mengundi di Dewan Rakyat bertentangan dengan kehendak BN.

"Jika dia gagal mematuhinya, maka kerusi dia dianggap dikosongkan dan perlu diganti melalui pilihan raya kecil,” ujarnya.

Beliau mengharapkan usaha menangani budaya lompat parti dapat dilaksanakan dengan cepat dengan menggunakan cara yang tepat demi mengukuhkan kestabilan politik negara.