KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam proses meneroka loji rawatan air (LRA) yang sedia ada di kawasan sempadan negeri-negeri untuk dinaik taraf bagi membantu meningkatkan sumber bekalan air.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah tersebut amat penting berbanding membina loji baharu bagi meningkatkan air di kawasan kedua-dua negeri berhampiran.
Menurutnya, sebagai contoh, Kelantan dan Terengganu terlibat dalam penggunaan air bersama dan proses naik taraf loji di sempadan dua negeri berkenaan sedang dalam penelitian pihak kerajaan.
"Kerajaan sedang meneliti kemungkinan untuk Kelantan menambah jumlah air yang kita ambil dari Besut, Terengganu. Untuk makluman, di kawasan Pasir Puteh itu, kita beli air dari Terengganu dan kita cuba tengok berapa loji yang ada di situ.
"Pada peringkat awal, saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Terengganu dan maklum juga kepada Menteri Besar Kelantan untuk kita teroka dulu potensi-potensi yang ada di kawasan sempadan.
"Dengan ini kita tidak perlu membina loji yang baharu, kita cuma tingkatkan keupayaan kapasiti loji yang sedia ada,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Tuan Ibrahim sebelum itu melakukan lawatan rasmi ke Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok, Panji, di sini yang turut dihadiri wakil daripada Air Kelantan Sdn Bhd dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya optimis dengan penerokaan loji sedia ada tersebut memandangkan ia bukan sahaja untuk perkongsian air terawat, namun ia juga melibatkan perkongsian sumber air antara dua negeri.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, mengulas mengenai lawatan berkenaan, Tuan Ibrahim berkata, loji LRA Kampung Telok dijangka dapat digunakan sepenuhnya awal November ini dengan kapasiti 30 juta liter sehari (JLH).
Menurutnya, loji berkenaan dapat membantu sebanyak 15,000 akaun melibatkan penduduk di Kota Bharu dan Bachok yang sebelum ini banyak bergantung kepada Loji Chicha, di sini.
"Dengan adanya loji ini, ia akan membantu meringankan bebanan Loji Chicha sekali gus membantu kekurangan air di beberapa kawasan termasuklah di Bukit Marak. Apa yang penting, kita harap ia dapat disiapkan sebagaimana perancangan,” katanya.