KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam ketika fasa Peralihan Monsun bermula hujung September hingga awal November ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia disebabkan oleh atmosfera yang tidak stabil sekali gus meningkatkan aktiviti perolakan dan membawa lebih banyak hujan khususnya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung, barat Sarawak dan barat Sabah pada sebelah petang dan awal malam.
"Jangkaan jumlah hujan di negeri Pantai Timur semasa Peralihan Monsun pada Oktober 2021 ialah antara 200 hingga 400 mm,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, MetMalaysia turut menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.
Beliau berkata sepanjang Monsun Timur Laut, negeri-negeri Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima hujan sedikit di atas paras purata pada November dan Disember manakala tempat lain dijangka menerima hujan pada paras purata.
Menurutnya, musim tengkujuh itu dijangka membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari tahun hadapan.
"Jangkaan jumlah hujan tertinggi semasa Monsun Timur Laut 2021/2022 di Pantai Timur adalah pada November dan Disember 2021. Pada November 2021, taburan hujan yang dijangkakan ialah melebihi 600 mm di Kelantan dan Terengganu, manakala 200 hingga 400 mm di Pahang.
"Jangkaan jumlah hujan bulanan pada Disember 2021, masih melebihi 600 mm di Kelantan dan Terengganu serta 300 hingga 600 mm di Pahang,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Helmi menasihati penduduk di kawasan rendah dan biasa dinaiki air supaya lebih waspada apabila berlaku hujan lebat serta sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan amaran dan ramalan cuaca melalui laman web dan media sosial MetMalaysia atau talian hotline 1-300-22-1638 serta aplikasi myCuaca.
"Orang awam juga dinasihatkan menyimpan dokumen-dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil apabila berlaku sesuatu kejadian buruk serta segera berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan apabila diarahkan,” katanya. - Bernama
Ribut petir, hujan lebat bermula hujung September
Iklan