Penjaja video tular pernah kena sita, kompaun DBKL

Iklan
Berlaku sedikit kekecohan ketika penguatkuasa DBKL membuat sitaan.

KUALA LUMPUR - Penjaja di Jalan Genting Klang yang videonya tular apabila barangan perniagaannya di sita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah dikenakan tindakan sama pada Januari lalu kerana menyebabkan halangan dan tiada lesen.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, operasi pada 28 Februari lalu ekoran daripada aduan awam mengenai aktiviti penjajaan yang telah meletakkan kerusi, meja serta memasang khemah di atas siar kaki dan petak letak kereta sehingga menyebabkan gangguan awam dan kacau ganggu lalulintas di samping kegiatan menjaja tanpa lesen.

Iklan
Iklan

"Sebelum kejadian ini, DBKL telah mengambil tindakan terhadap penjaja terbabit di atas kesalahan yang sama hasil daripada aduan awam. Pada 31 Januari 2019 melalui Operasi KEJA, tindakan sita barangan telah di ambil terhadap penjaja terbabit.

"Manakala pada pemantauan susulan pada 12 Februari 2019, penjaja terbabit masih ingkar dan menjalankan perniagaan di lokasi yang sama. teguran secara lisan dan notis kompaun telah dikeluarkan terhadap penjaja terbabit,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Penjaja berkenaan cuba menghalang tindakan yang dibuat anggota penguatkuasa DBKL ketika operasi pada 28 Februari lalu.

Iklan

Jelas beliau, ketika operasi berkenaan penjaja berkenaan dikesan dan tindakan sitaan telah dilakukan ke atas peralatan perniagaan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

"Walau bagaimanapun semasa tindakan sitaan sedang dilakukan, penjaja telah bertindak dengan menghalang dan membuat provokasi ke atas anggota penguatkuasa DBKL yang sedang menjalankan tugas.

Iklan

"Lanjutan daripada itu, telah timbul tindakan-tindakan di luar kawalan oleh penjaja terbabit ke atas anggota penguatkuasa DBKL yang sedang menjalankan tindakan. Penjaja terbabit turut membuat ancaman terhadap seorang anggota penguatkuasa dan keluarganya. Satu laporan polis telah dibuat dan siasatan serta tindakan lanjut diserahkan kepada pihak polis,”katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan pilih kasih, DBKL sita kerana tak ada lesen: Khalid

Mengulas lanjut, Norhaslinda berkata, tindakan yang dilaksanakan oleh DBKL dalam insiden tersebut bukannya bersikap rasis atau selektif tetapi lebih ke arah keselesaan awam dan kebersihan pengendalian makanan.

"Adalah perlu untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang berniaga tanpa lesen ini untuk mengelakkan timbul masalah seperti keracunan makanan kerana mereka ini tidak berdaftar dan sukar dikesan kerana tiada rekod kesihatan.

"Nasihat DBKL kepada orang awam yang berminat dan jujur untuk berniaga khususnya barang makanan, mereka perlulah melakukannya melalui saluran yang betul. Mereka boleh memohon lesen dan jika memenuhi syarat yang ditetapkan ianya tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada mana-mana pihak,”katanya.

Terdahulu sebuah video berdurasi hampir 4 minit tular di media sosial memaparkan tindakan anggota penguatkuasa DBKL menyita barangan perniagaan milik seorang peniaga Melayu.

Peniaga berkenaan yang cuba menghalang tindakan tersebut dilihat ‘dipegang’ salah seorang anggota penguatkuasa sebelum berlaku kekecohan.

Ekoran tularnya video berkenaan timbul isu DBKL bersikap selektif dan pilih kasih dalam membuat tindakan dan didakwa menindas penjaja Melayu.