Pengarah kumpulan agensi insurans tidak mengaku salah cabul ejen

Iklan
Tertuduh dibawa anggota polis ketika hadir pada prosiding di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Jumaat.

KOTA KINABALU - Seorang pengarah kumpulan sebuah agensi insurans mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan mencabul kehormatan salah seorang ejennya di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Tertuduh, Zulkarnain Abdul Ghani, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Stephanie Dunstan.

Iklan
Iklan

Mengikut kertas pertuduhan, Zulkarnain didakwa mencabul seorang wanita berusia 23 tahun di dalam kereta Ford Ranger di Jalan Coastal di sini pada Februari 2019.

Menurut pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama pada November 2018 di dalam sebuah kereta Toyota Vios milik mangsa di Jalan Lintas di sini.

Iklan

Akibat daripada dua insiden berkenaan, mangsa dikatakan tertekan dan bertindak berhenti bekerja dengan tertuduh pada Jun 2019.

Mangsa dikatakan masih trauma dan sukar melupakan kejadian yang menimpanya sebelum nekad membuat laporan polis pada Mac lalu.

Iklan

Difahamkan, sehingga kini mangsa masih menjalani rawatan di Bahagian Psiakatri dan Kesihatan Mental, Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) di sini kerana berada dalam keadaan 'Post Traumatic Stress Disorder'.

Majistret Stephanie menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan pegawai pendakwa Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit manakala tertuduh diwakili oleh peguam Ram Singh Harbans & Co.