Negeri Sembilan dijangka beralih ke Fasa 4 dalam masa terdekat

Iklan
Aminuddin bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini. - Foto Bernama

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan optimis beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, ia susulan negeri itu mencapai tahap imuniti kelompok dengan 80.9 peratus individu melengkapkan dos kedua setakat hari ini namun masih terdapat beberapa perkara sedang diteliti iaitu bilangan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Iklan
Iklan

"Dos pertama sudah capai 97.21 peratus dan dos kedua capai 80.9 peratus. Ini merupakan imuniti kelompok yang kita kejar dari awal.

"Kalau diikutkan capai 80 peratus dah boleh beralih ke Fasa Empat PPN tetapi bergantung kepada beberapa perkara lagi.

Iklan

"Kita mampu ke fasa seterusnya dalam tempoh terdekat tetapi pematuhan prosedur operasi standard perlu diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.

Aminuddin turut memberikan penghargaan kepada semua pihak serta rakyat di negeri ini yang bekerjasama baik dalam usaha negeri ini dapat beralih ke Fasa Tiga PPN esok.

Iklan

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sasaran kerajaan negeri selepas ini adalah mengesan mereka yang belum divaksinasi di negeri ini dan tindakan itu diambil selepas semua individu dalam senarai MySejahtera selesai melengkapkan dos pertama masing-masing minggu hadapan.

"Kemungkinan ada antara mereka yang tercicir atau tidak mendaftar disebabkan faktor tertentu termasuk tinggal di kawasan pedalaman atau mempunyai masalah kesihatan,” katanya. - Bernama