NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyenaraihitam anak Osama Laden, Hamza sekali gus mengenakan larangan perjalanan global dan pembekuan aset.
UNSC menambah tindakan itu berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu diambil sehari selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan ganjaran bernilai AS$1 juta (RM4.06 juta) bagi maklumat mengenai lokasi Hamza.
AS juga menyifatkan Hamza berkemungkinan tinggi sebagai pengganti pemimpin Al-Qaeda sedia ada, Ayman al-Zawahiri yang mengetuai pergerakan itu sejak Osama dibunuh komando AS dalam serbuan ke atas persembunyiannya di Pakistan pada Mei 2011.
Semalam, Arab Saudi turut mengumumkan telah melucutkan kewarganegaraan Hamza.
Keputusan itu dibuat berdasarkan perintah diraja yang dibuat pada bulan November lalu.
Pada Januari 2017, AS telah memasukkan Hamza ke dalam senarai pengganas global.
Penyenaraian itu melarang mana-mana warganegara AS untuk terlibat dalam sebarang transaksi dengan Hamza.
Bagaimanapun, keputusan terbaru UNSC kelmarin menyaksikan sekatan terhadapnya (aset, dana dan sumber kewangan) akan dibekukan tanpa sebarang kelewatan.
Hamza kini didakwa bersembunyi di wilayah di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan. — Agensi