MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik lantikannya sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dan sedia meningkatkan peranan serta menggerakkan perancangan baharu yang bakal dirangka.
Abdul Hadi berkata, lantikan semula beliau ke jawatan itu membolehkannya menyambung semula perancangan yang telah dirangka sebelum ini.
Beliau berkata, pertemuan diplomatik dengan 10 duta negara Timur Tengah telah diadakan bagi membincangkan kerjasama dua hala khususnya melibatkan politik, ekonomi dan pendidikan sepanjang menggalas jawatan sama sebelum ini.
"Tindakan susulan telah dilakukan menerusi siri lawatan oleh menteri dan ada yang telah menunjukkan perkembangan positif antaranya peningkatan harga kelapa sawit.
"Kita turut membincangkan mengenai sektor pendidikan di Mesir dan Jordan selain kerjasama membantu rakyat Palestin.
"Kerja sudah dibuat cuma disambung semula dan ditingkatkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah duha secara dalam talian di Rusila, di sini pada Jumaat
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju menyambung pelantikan Abdul Hadi sebagai Duta Khas ke Timur Tengah menerusi mesyuarat kabinet pertama yang berlangsung pada Rabu.
Selain Abdul Hadi, turut dikekalkan tugasan sebagai duta ialah Datuk Seri Tiong King Seng (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri Richard Riot (Duta Khas ke Asia Timur).