PASIR MAS – Pas akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk merumus tindakan ke arah mewujudkan akta lompat parti sebagaimana yang diperjuangkan sejak beberapa tahun lalu.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas masih dengan pendirian menyokong sepenuhnya akta berkenaan diwujudkan kerana dilihat sangat relevan pada masa kini.
"Pas memang sangat bersetuju, bahkan kita dalam parti pun sudah melakukan macam-macam kaedah bagi memastikan tidak berlaku perbuatan melompat parti.
"Bagi saya, selagi tiada akta itu, kita tidak selamat. Kalau menang dua tiga kerusi, kita tiada jaminan orang itu akan kekal dengan parti yang dimenanginya.
"Kerana itulah kita sokong dan Insya-ALLAH, Pas akan cuba menggerakkan satu jawatankuasa untuk merumus tindakan-tindakan ke arah itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Tapak Projek Tebing Sungai Kampung Pohon Celagi di sini pada Jumaat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kurangnya golongan profesional dilantik dalam kabinet baharu kerajaan, Tuan Ibrahim berkata, isu berkenaan tidak timbul.
Beliau berkata, kabinet yang ada ketika ini adalah terbaik mengikut keperluan untuk membangun semula negara dalam tempoh penularan Covid-19 ini.
"Saya rasa semuanya baik saja. Kita ada golongan profesional, kita ada golongan ulama, masing-masing ada bidang tersendiri. Tiada masalah dan yang penting kerjasama antara semua itu dalam memajukan negara.
"Contohnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), ramai daripada golongan profesional untuk bersama-sama kerajaan merangka dan membincangkan hala tuju negara. Tiada isu berat sebelah, tidak seimbang dan sebagainya.
"Sekarang ini kita sedang bergerak ke arah satu politik baharu di Malaysia. Dulu Pas mengetengahkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) dan ia merupakan satu budaya politik baharu di Malaysia. Dengan adanya Keluarga Malaysia dan BPMS ini, kita yakin ia boleh diselaraskan dengan baik.
"Ia juga mengikut apa yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya mewujudkan ketenangan politik sebelum ini, maka saya rasa itulah hasrat yang perlu didokong bersama," kata beliau.