KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan aktiviti pengedaran dan pembekalan minuman keras dan rokok putih seludup di sebuah gudang di Pandamaran, Pelabuhan Klang pada Khamis.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, jumlah sitaan (nilai dan cukai) dagangan tersebut adalah dianggarkan berjumlah RM8,398,210.
"Menerusi serbuan kira-kira jam 8.30 malam di gudang tersebut, pasukan operasi telah menjumpai dua jenis dagangan yang disyaki tidak berkastam iaitu 40 jenama minuman keras berjumlah 11,370 liter yang dianggarkan bernilai RM372,150 melibatkan cukai dan duti berjumlah RM1,285,260.
"Dagangan kedua pula merupakan sejumlah rokok putih dan kretek pelbagai jenama sebanyak 8,800,000 batang di mana nilai dagangan dianggarkan bernilai RM848,000 melibatkan cukai dan duti berjumlah RM5,892,800," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, siasatan dijalankan mendapati gudang tersebut dijadikan tempat untuk menyimpan sejumlah barangan tidak berkastam di mana kedudukannya terletak di kawasan perindustrian dan bersebelahan dengan kilang pembuatan.
"Kaedah operasi adalah dengan memilih lokasi tersembunyi di sebalik kilang-kilang berhampiran.
"Dagangan tersebut dipercayai untuk diedarkan di pasaran Lembah Klang melalui darat menggunakan lori atau kenderaan berat," katanya.
Menurutnya, kes ini masih dalam siasatan bagi mengesan pemilik premis atau ejen pengimport yang terlibat untuk tindakan selanjutnya.
"Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai apa-apa barang tak berkastam atau larangan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
"Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti kastam atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.