AUCKLAND (New Zealand) - Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan kejadian 'serangan pengganas' oleh seorang 'pelampau' di sebuah pasar raya di New Lynn, Auckland pada jam 2.40 petang Jumaat.
Lelaki itu ditembak mati pihak polis yang berada di lokasi berkenaan setelah bertindak menikam beberapa orang di pasar raya Countdown, LynnMall di New Lynn Auckland.
Jurucakap perkhidmatan ambulan St Johns berkata, sekurang-kurangnya enam orang cedera, termasuk tiga dalam keadaan kritikal.
"Seorang pelampau bertindak ganas dengan menyerang orang awam yang tidak bersalah di pasar raya itu," lapor Xinhua memetik kenyataan Ardern dalam satu sidang media di Wellington.
"Ia adalah serangan pengganas, tidak masuk akal dan saya bersimpati atas apa yang berlaku," katanya, sambil menambah bahawa pihak polis melepaskan tembakan terhadap lelaki berkenaan selepas satu minit kejadian berlaku.
Lelaki warganegara Sri Lanka itu tiba di New Zealand pada 2011 dan berada dalam pemantauan polis sejak 2016 kerana membawa ideologi Daesh.
Pesuruhjaya Polis Andrew Coster dalam sidang media mengesahkan bahawa individu itu berada di bawah pengawasan ketat atas 'kebimbangan terhadap ideologinya'.
Coster berkata, lelaki itu bertindak sendirian dan tiada lagi ancaman kepada orang ramai.
Pihak polis melakukan sekatan di jalan raya berhampiran pasar raya itu dan sekurang-kurangnya 10 kenderaan polis masih berada di lokasi kejadian. - Bernama