Harga kit ujian pantas Covid-19 dibuat tergesa-gesa tidak benar

Iklan
Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan dakwaan harga maksimum Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 (ujian sendiri) itu dibuat secara tergesa-gesa.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bertanggungjawab menetapkan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi mengelakkan penjualan produk itu pada harga yang tidak terkawal.

Iklan
Iklan

Tambah beliau, KPDNHEP mengatur gerak kerja secara terancang dalam tempoh yang munasabah untuk melaksanakan kawalan harga bagi memastikan ia dapat dibeli oleh pengguna.

"Perkara ini juga seiring dengan kenyataan Persatuan Farmasi Malaysia yang bersetuju alat ujian sendiri ini wajar didapati pada harga mampu milik.

Iklan

"KPDNHEP prihatin terhadap keluhan rakyat dan pada masa sama turut menerima maklum balas daripada pelbagai pihak agar kerajaan mengambil inisiatif sewajarnya bagi membolehkan alat ujian sendiri ini boleh dibeli pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Alexander berkata, sesi libat urus bersama industri yang terlibat telah dilakukan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai bekalan dan penjualan alat tersebut.

Iklan

Menurutnya, walaupun kandungan perbincangan tidak menyentuh secara spesifik mengenai penetapan harga kawalan yang sebenar tetapi mereka sewajarnya mengetahui tujuan perbincangan untuk mendapatkan maklumat berhubung mekanisme harga dan bekalan.

"Setiap perincian maklum balas hasil daripada sesi libat urus adalah diambil kira dan diberi perhatian dalam melaksanakan keputusan penetapan harga maksimum yang diperuntukan di bawah Seksyen 4, AKHAP 2011 sepertimana yang digunakan untuk pelitup muka dan juga minyak masak sawit tulen pek botol sebelum ini.

"Pertimbangan dibuat dan setiap maklumat yang diperoleh daripada setiap sesi libat urus diberi perhatian serius,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, pihaknya menghargai sekiranya Persatuan Farmasi Malaysia bersikap lebih rasional dan realistik dengan situasi semasa kerana alat tersebut merupakan barang sensitif dari aspek harga dan bekalan kepada rakyat.

"Hasrat melaksanakan kawalan harga serta penguatkuasaan ke atas kit ini di pasaran Malaysia dalam masa terdekat juga telah dipersetujui dan disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) atas keperluan bersifat nasional.

"Ini untuk menggalakkan pemantauan secara kendiri dalam mengesan kehadiran serta mengawal penularan wabak Covid-19 oleh pengguna,” katanya.

Jelas KPDNHEP, hasrat dan tindakan kawalan harga dibuat berasaskan perundangan dan tiada niat untuk menekan pihak industri tetapi menjamin kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

"Pihaknya akan membenarkan tempoh seminggu kepada peniaga dan semua pihak yang terlibat untuk membuat penyesuaian dan penyelarasan harga.

"Tempoh kelonggaran yang sama juga akan dilaksanakan oleh pasukan penguat kuasa dari tarikh kuat kuasa harga siling kit ujian sendiri ini bermula pada 5 September 2021,” ujarnya.