2,500 guru enggan divaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka

Iklan
Mohd Radzi (kiri) ketika sesi libat urus bersama pihak pengurusan sekolah, guru dan PIBG sekolah-sekolah negeri Perlis pada Jumaat. - Facebook Radzi Jidin

KANGAR - Guru yang enggan atau masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak dibenarkan terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas atau berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat bagi pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setakat ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenal pasti seramai 2,500 guru di seluruh negara belum menerima vaksin.

Sehubungan itu, katanya, KPM sudah meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk turun berbincang dan menasihat guru-guru berkenaan.

Iklan

"Pada waktu ini, sekitar 2,500 orang guru masih enggan divaksin. Kita akan mengadakan sesi libat urus bersama mereka untuk menjelaskan mengenai perkara ini. Ada yang tidak dapat divaksin atas masalah kesihatan, tapi yang lain-lain pelbagai alasan diberikan termasuk tidak yakin.

"Apabila sekolah dibuka, mereka (sekiranya belum divaksin) tidak boleh mengajar secara bersemuka dalam kelas dan berinteraksi dengan pelajar," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel selepas sesi libat urus bersama pihak pengurusan sekolah, guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah negeri Perlis di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohd Radzi berkata, KPM juga akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat bagi melihat tindakan sewajarnya diambil ke atas guru-guru berkenaan.

"Selain itu, ada tugasan menanti dan akan digariskan oleh KPM kepada guru-guru yang masih belum divaksin ini jika tidak dapat mengajar secara bersemuka dengan pelajar-pelajar nanti," jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata, setakat ini sebanyak 96.7 peratus guru di seluruh negara sudah menerima dos pertama manakala 85.2 peratus sudah lengkap dua dos vaksin.

"Bagi sektor perkhidmatan sokongan melibatkan bahagian kebersihan, kantin dan keselamatan di sekolah pula, sebanyak 73.7 peratus telah menerima vaksin lengkap manakala sebanyak 89.3 peratus telah menerima dos pertama," katanya.