KUANTAN - Kerajaan akan membina kilang vaksin halal pertama di dunia di Negeri Sembilan yang bakal menempatkan Malaysia sebagai peserta antarabangsa dalam pengeluaran vaksin.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata usaha pembangunan kilang tersebut mengambil masa yang agak lama, namun yakin penyediaan kemudahan ini akan dapat memacu pengeluaran vaksin pada masa hadapan.
Menurutnya, dengan pembinaan kilang tersebut pihaknya mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa kerana vaksin yang dihasilkan dari kilang itu adalah halal.
"Dari segi halal sememangnya telah ada vaksin yang halal yang telah dilakukan kajian terperinci dengannya dan kita dalam proses untuk membina kilang vaksin halal yang pertama dalam dunia.
"Jika dapat dibina dan vaksin dapat dikeluarkan, saya yakin ia boleh memberi alternatif kepada ibu bapa kerana ianya halal dan mereka akan dengannya," katanya pada Progam Larian Sepat Run Fresh and Fun di Pantai Sepat di sini, hari ini.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terlibat dalam menubuhkan fatwa berkenaan suntikan vaksin imunisasi kanak-kanak yang menjadi isu hangat di kalangan ibu bapa.
Isnin lalu, media turut melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan IMedik Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak
Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria menunggal dunia minggu lalu akibat penyakit itu.
Lima lagi kanak-kanak yang dilaporkan pernah berada dan berhubung terus dengan mangsa juga disahkan positif penyakit difteria.