PNB tawar biasiswa kepada 24 pelajar cemerlang

Iklan
Ahmad Zulqarnain Onn (tengah) ketika menyampaikan surat tawaran Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB 2021 kepada 24 pelajar cemerlang.

SHAH ALAM - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menawarkan Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB 2021 kepada 24 pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, anugerah itu memberi peluang kepada pelajar cemerlang yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Iklan
Iklan

"Sebagai sebuah institusi yang diamanahkan dengan mandat sosial, PNB kekal konsisten memainkan peranan dalam pembangunan negara, dengan usaha pembangunan berterusan bagi melahirkan para pemimpin masa depan di Malaysia.

"Setelah menamatkan pengajian mereka, para pelajar ini akan berpeluang untuk turut sama menyertai PNB dalam usaha mencapai matlamat menjadi sebuah institusi pelaburan distinktif bertaraf dunia.

Iklan

"Sejak program biasiswa kami diperkenalkan pada tahun 1996, PNB telah menyumbang sejumlah RM341 juta untuk menaja lebih daripada 5,000 anak muda Malaysia yang berkelayakan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, kesemua pelajar terlebih dahulu akan mengikuti pengajian program A-Level selama dua tahun di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda dalam pelbagai bidang yang berkaitan.

Iklan

Tambahnya, bidang pengajian itu seperti perakaunan, kewangan, undang-undang, matematik, sains aktuari, sains komputer dan kejuruteraan yang mempunyai kaitan dengan portfolio perniagaan PNB.

Jelas Ahmad Zulqarnain, Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB merupakan komponen utama dalam inisiatif pengurusan bakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNB.

"Ia dirancang untuk memberi faedah secara langsung dan bermakna kepada pihak berkepentingan syarikat serta untuk memenuhi keperluan masyarakat.

"Empat teras program CSR PNB adalah pendidikan, literasi kewangan, peningkatan taraf hidup masyarakat dan inisiatif perkongsian pengetahuan,” katanya.