Ziyad rayu rakyat Malaysia tidak kecam atlet Ukraine

Iklan
Muhammad Ziyad pada sidang media sejurus tiba di KLIA hari ini. - Foto Bernama

[DIKEMASKINI] JAGUH lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengulangi permintaannya agar rakyat Malaysia berhenti memberikan kecaman kepada rakan seperjuangnya daripada Ukraine yang memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Selasa lalu.

"Saya mengambil kesempatan ini, saya harap seluruh rakyat Malaysia janganlah kita kecam kawan saya dan juga pemenang pingat emas dari Ukraine itu.

Iklan
Iklan

"Saya harap semua faham. Dia kategori macam saya. Dia pun ada perasaan dan lemah macam saya.

"Kami sama, bila kena macam itu, saya tak tahu dia punya situasi macam mana. Macam saya pun sudah sedih, macam mana dengan dia," katanya ketika sidang akhbar ketibaan empat atlet paralimpik negara di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, Ziyad berkata, beliau akan menjadikan peristiwa yang berlaku ketika Sukan Paralimpik Tokyo 2020 kali ini sebagai pengajaran untuknya bagi kejohanan yang akan datang.

"Benda ini bagi satu pengajaran kepada saya. Tahun depan akan ada kejohanan lagi. Tahun 2024 (Olimpik Paris) saya akan usaha untuk pecahkan rekod dunia sekali lagi," ujarnya.

Iklan

Pada Selasa, hasrat Ziyad untuk menghadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negara di pentas Sukan Paralimpik kali ini tidak kesampaian apabila pingat emas dimenangi atlet tersebut dibatalkan selepas dibantah oleh kem Ukraine.

Kem Ukraine melakukan protes tersebut kerana Ziyad dan dua lagi atlet daripada Australia dan Ecuador lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Rayuan kontinjen Malaysia bagi mengesahkan pingat emas milik Ziyad itu juga telah ditolak pihak penganjur pada mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) yang diadakan pada Rabu lalu.

Dalam pertandingan yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo itu, Ziyad sepatutnya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam edisi di Rio lima tahun lalu selepas memecahkan rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m.