Cendawan tiram beri pendapatan lumayan buat suami isteri

Iklan
Noriha menyusun sebahagian bongkah cendawan bagi memudahkan pertumbuhan cendawan ketika ditemui pemberita di Kampung Chengal, Ketereh di sini. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Pengalaman sebagai pengusaha cendawan tiram kelabu dan putih mendorong Noriha Ahmad, 49, dan suaminya Mohd Saupi Hassan, 55, meneroka peluang baharu sebagai pembekal bongkah cendawan.

Percubaan itu nyata berbaloi apabila mereka membekalkan hampir 9,000 bongkah cendawan sebulan kepada Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Bhd (KOKULAC) dan pengusaha baharu cendawan di sekitar Kelantan.

Iklan
Iklan

"Saya mula mengusahakan cendawan tiram pada 2015, tiga tahun kemudian (2018) barulah saya mengambil langkah menjimatkan kos pengeluaran dengan mula memproses bahan media cendawan atau bongkah cendawan sendiri sebanyak 300 bongkah sehari.

"Bongkah cendawan yang dihasilkan ini diperbuat daripada habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian seterusnya digaul sebati menggunakan mesin pengisar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bengkel cendawan tiram putih dan kelabu di Kampung Chengal, Ketereh pada Jumaat.

Iklan

Noriha dan Mohd Saupi melakukan proses membungkus adunan serbuk kayu dengan bahan lain ke dalam plastik ketika ditemui pemberita di Kampung Chengal, Ketereh di sini. - Foto Bernama

Noriha berkata, selepas siap digaul, bahan tadi dimasukkan ke dalam plastik seterusnya bongkah tersebut dikukus selama enam jam di dalam tong dram.

Iklan

"Selepas siap dikukus, bongkah cendawan disejukkan selama 24 jam, sebelum disimpan di dalam bilik yang dilengkapi alat penyaman udara untuk menjalani proses memasukkan benih cendawan untuk tujuan pemeraman dan pengeluaran hasil.

"Seunit bongkah dijual pada harga RM1.60 dan setiap bongkah hanya boleh digunakan dalam tempoh tiga atau empat bulan sahaja. Selepas itu ia perlu digantikan dengan bongkah yang baharu,” katanya.

Noriha dan suaminya, Mohd Saupi kini mampu tersenyum lebar apabila menjana pendapatan memberangsangkan sebagai pengusaha dan juga pembekal bongkah cendawan.

Noriha dan Mohd Saupi menunjukkan bongkah cendawan yang dihasilkan ketika ditemui pemberita di Kampung Chengal, Ketereh di sini. - Foto Bernama

"Untuk cendawan saya mampu menuai kira-kira 30 hingga 40 kilogram cendawan sehari dan menjual pada harga RM10 sekilogram. Cendawan yang dituai dijual di Pasar Borong Wakaf Che Yeh.

"Bagi memastikan cendawan dapat memberi hasil maksimum serta berkualiti, suhu di dalam rumah tanaman ini perlu berada dalam keadaan yang lembap dan saya menggunakan sistem 'Rumah Cendawan Pintar' (iMistroom) hasil ciptaan teknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, selain persekitarannya juga perlu sentiasa bersih," kata ibu kepada enam anak itu. - Bernama