SHAH ALAM - Dadah, rokok, minuman keras, kenderaan, mercun dan bunga api antara komoditi popular yang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tahun 2019 hingga Julai 2021.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, nilai rampasan barangan seludup untuk ketiga-tiga tahun itu mencecah RM1.289 bilion (2019), RM637 juta (2020) dan RM5.390 bilion sehingga Julai 2021 dengan jumlah cukai keseluruhan bernilai RM861.34 juta.
Menurut beliau, daripada jumlah itu yang paling banyak dirampas melibatkan rokok seludup.
"Modus operandi penyeludup yang sentiasa berubah juga menjadi antara faktor kegiatan itu sukar dikawal,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Latif berkata, menerusi pembentangan bajet yang lalu, menteri kewangan memperkenalkan beberapa inisiatif, antaranya mengehadkan pelabuhan membawa masuk rokok ke pasaran tempatan.
"Pindaan undang-undang dan peraturan kastam dilakukan dengan menetapkan hanya lima pelabuhan dibenarkan bagi kemudahan tersebut.
"Kebenaran diberi kepada pelabuhan utama yang bertaraf zon bebas iaitu di Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pasir Gudang,” katanya.
Beliau menambah, atas faktor geografi di Sabah dan Sarawak, kerajaan membenarkan dua pelabuhan dibuka.
"Langkah ini diambil bagi mengekang kehilangan cukai akibat penyeludupan rokok dari zon bebas cukai, dengan melakukan perubahan dasar cukai ke atas rokok import ke pulau bebas cukai dan kedai bebas cukai,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan turut memperkenalkan polisi baharu iaitu sekiranya terdapat permohonan penghantaran rokok, cukai perlu dibayar terlebih dahulu.
"Hanya selepas ia dibuktikan dengan dokumen yang diperlukan, barulah tindakan lain akan dibuat,” katanya.
Bendung rokok seludup
Kajian menunjukkan 62 peratus jualan rokok di pasaran tempatan merupakan rokok tidak sah atau seludup.
Ia adalah berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Confederation of Malaysia Tobacco Manufacturers (CMTM) sebelum ini.
Menyingkap isu berkenaan, Abdul Latif berkata, antara usaha yang dilakukan adalah menubuhkan jawatankuasa ‘Multi-Agency Task Force’ yang mana ia dipengerusikan oleh kementerian Kewangan.
"Kita sudah bersidang dua kali dan ia melibatkan agensi penguat kuasa lain termasuk pengedar utama rokok dan minuman keras yang bernaung di bawah CMTM.
"CMTM bekerjasama rapat dengan kerajaan dengan memberi input yang perlu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, barisan kabinet juga akan menggunakan platform sama untuk berbincang bagi menentukan atau menggubal undang-undang membendung isu yang berlaku.
"JKDM adalah agensi yang menjalankan operasi risikan ke atas anasir-anasir penyeludupan ke arah meningkatkan tindakan penguatkuasaan penyeludupan dan penyelewengan,” jelas beliau.
Menurutnya, ia termasuk menjalankan operasi mencegah penyeludupan secara bersepadu dan terkoordinasi melalui kaedah rondaan di darat dan laut, mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas premis yang disyaki.
"Siasatan mengenai sebarang aktiviti penyeludupan sama ada yang diterima melalui ampoma (pemberi maklumat), aduan daripada orang awam atau hasil risikan juga dilakukan,” katanya
Abdul Latif berkata, JKDM melalui bahagian penguatkuasaan secara khusus katanya, melaksanakan amanat kerajaan dalam penglibatan Ops Benteng bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Malaysia (Maritim Malaysia) dan 19 agensi kerajaan yang lain.
Jelasnya, menerusi operasi negara yang berskala besar, peranan bahagian penguatkuasaan adalah untuk memastikan keselamatan rantaian bekalan perdagangan tidak digunakan untuk penyeludupan termasuk pendatang asing tanpa izin.
Kawalan dasar dan perundangan
Bagi memastikan rangkaian penyeludupan ini dapat dibanteras, JKDM berusaha untuk memantapkan beberapa aspek iaitu memperketatkan kawalan dari segi dasar dan perundangan.
Menurut Abdul Latif lagi, mengikut pindaan perundangan, prosedur operasi standard (SOP) dasar jabatan bagi tahun ini ialah, pengenalan dasar baharu berkaitan rokok dan produk tembakau berkuat kuasa 1 Januari lalu iaitu dengan membekukan lesen import rokok baharu.
Selain itu tambah beliau, kerajaan mengenakan kuota import, mengehadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja dan mengenakan cukai dengan kemudahan 'pulang balik' ke atas semua rokok import bagi tujuan eksport semula.
"Kita tidak membenarkan aktiviti transhipment dan eksport semula rokok menggunakan bot-bot kecil termasuk bot kumpit dan hanya dibenarkan penggunaan kontena ISO.
Jelas Abdul Latif, tindakan seterusnya ialah mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai dan mana-mana zon bebas yang sebelum ini dibenarkan jualan runcit.
"Bila kita laksanakan cara ini, barulah prestasi pungutan hasil menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
"Walaupun hanya lima peratus tapi ia ia memberi petunjuk positif untuk kita ambil tindakan selanjutkan berdasarkan polisi sedia ada.
"Kemungkinan juga dalam pengumuman bajet akan datang, ada polisi baharu diperkenalkan bagi mengekang penyeludupan rokok,” katanya.
Penguatkuasaan antarabangsa
Selain itu, menurut beliau, pihaknya turut memperkasakan aktiviti penguatkuasaan dengan kerjasama antarabangsa merangkumi rantau Asia Pasifik dan Asean.
"Kerajaan juga menjalankan operasi penguatkuasaan anjuran World Customs Organization (WCO), Regional Intelligence Liaison Office, Asia Pacific (RILO AP), Interpol,” katanya
Jelas Abdul Latif, antara operasi yang disertai oleh JKDM adalah Operation GOALS iaitu Trafficking in illicit drugs precursor chemicals pada 1 hingga 19 Februari lalu, Operation Mekong Dragon III, Illegal trade of drugs and endangered wildlife species pada 15 April hingga 15 September 2021.
"JKDM turut menyalurkan maklumat modus operandi yang dilaporkan dalam Customs Enforcement Network (CEN) kepada semua pihak barisan hadapan jabatan bagi meningkatkan pengetahuan dalam menjalankan tugas.
"Mereka menggunakan mekanisme ‘Alert Notification System’ (ANS) di bawah seliaan ASEAN ‘Customs Enforcement and Compliance Working Group’ (CECWG).
"Begitu juga dengan ‘Project Crocodile’ di bawah seliaan RILO AP bagi perkongsian maklumat risikan antara negara bagi kawalan jenayah rentas sempadan," tambahnya.
Abdul Latif berkata, selain itu, JKDM turut mengadakan komunikasi antara National Contact Point (NCP) pelbagai negara bagi mengkaji tindakan terbaik dan faktor kelemahan yang dialami oleh negara lain untuk proses penambahbaikan perundangan dan aktiviti penguatkuasaan yang boleh diaplikasi oleh JKDM.
Jelasnya, bagi meningkatkan tahap profesionalisme, pengetahuan dan kredibiliti kakitangan, mereka dihantar untuk menghadiri kursus latihan di peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh WCO, RILO AP, Interpol dan sebagainya.
"Antara kejayaan yang dicapai ketika strategi kerjasama peringkat antarabangsa adalah seperti mematahkan sindiket pemindahan rokok dan minuman keras.
"Selain itu, JKDM juga berjaya menahan lebih kurang 50 kontena rokok yang tiba di pelabuhan tanpa melakukan pengikraran manifes yang membahayakan negara bagi tahun 2019 dan 2020.
"Kontena-kontena tersebut berpontensi diseludup masuk secara tidak sah oleh sindiket atau ditukar kontena bagi menyukarkan pemantauan oleh pihak berkuasa. Nilai cukai yang berjaya diselamatkan dianggarkan sebanyak RM300 juta,” katanya.
Kerjasama antara agensi
Selain itu, kerjasama daripada agensi penguatkuasaan, keselamatan dan pihak industri dilakukan dengan mengadakan perkongsian maklumat operasi bersepadu.
JKDM juga terlibat dalam menyokong usaha Kementerian Kewangan dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu bagi membincangkan langkah-langkah membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia.
Jawatankuasa berkenaan dianggotai secara bersama dengan wakil kementerian dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.
Wakil industri pula melibatkan Confederation of Malaysian Brewers Berhad (CMBB), EU-Malaysia Chambers of Commerce and Industry (Wines & Spirits Committee EUMCCI) dan Confederation of Malaysia Tobacco Manufacturers (CMTM).