GEORGE TOWN - Seramai 62,551 orang telah memperolehi manfaat dari projek Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN), sebuah projek rumah penginapan sementara yang dimulakan sejak 2006, untuk anggota keluarga pesakit yang sedang dirawat di hospital-hospital kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata sehingga ke hari ini terdapat 10 buah Anjung Kasih YKN di seluruh negara, dan rumah penginapan tersebut di Pulau Pinang sudah digunakan 103 orang penghuni sejak beroperasi 9 Januari lepas.
"Empat buah lagi Anjung Kasih YKN bakal beroperasi pada tahun ini iaitu di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar (Kedah), Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, Hospital Duchess of Kent Sandakan (Sabah) dan Hospital Melaka,” katanya ketika merasmikan Anjung Kasih YKN di Hospital Pulau Pinang di sini.
Menurutnya kerajaan memperuntukkan RM6.9 juta untuk kos keseluruhan Anjung Kasih ini, yang turut mendapat sokongan program tanggungjawab sosial korporat sebanyak RM1.6 juta yang diterima dari syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), syarikat korporat dan penyumbang-penyumbang yang prihatin.
"(Secara keseluruhannya) sejak tiga tahun lepas YKN telah menerima sumbangan sebanyak RM3.6 juta dari GLCs dan syarikat-syarikat korporat dan untuk tahun ini sehingga Februari lepas, Anjung Kasih sudah mendapat sumbangan sebanyak RM1.9 juta,” katanya.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata Projek Anjung Kasih ini merupakan satu pendekatan proaktif bidang"medicosocial” yang menggabungkan aspek-aspek perubatan dan khidmat sosial.
Menurutnya Hospital Pulau Pinang merupakan hospital kedua terbesar selepas Hospital Kuala Lumpur, dan menjadi rujukan di zon utara dengan menerima pesakit dari Perlis dan Kedah untuk rawatan.
"Pulau Pinang terkenal dengan bangunan berkonsepkan ‘heritage’, maka reka bentuk Anjung Kasih ini berdasarkan konsep yang sama, tanpa melibatkan kos tambahan daripada peruntukan asal,” katanya.
Katanya kerajaan sentiasa berusaha meringankan bebanan rakyat melalui penawaran penginapan percuma supaya mereka dapat bersama-sama, menemani anggota keluarga mereka yang sakit untuk menjalani rawatan.
"Dengan Anjung Kasih ini kerajaan mampu membantu rakyat menjimatkan kos perbelanjaan mereka,” katanya yang menganggarkan keluarga pesakit terpaksa berbelanja di antara RM100 dan RM200 sehari untuk menginap di hotel ataupun rumah tumpangan berbayar. - Bernama