Wei Lun seru golongan OKU beranikan diri mencuba

Iklan
Wei Lun memenangi pingat perak setelah tewas kepada David Smith dari Great Britain pada perlawanan akhir kategori Individu Campuran (BC1) pada kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Gimnastik Ariake, Tokyo. - Foto Bernama

SEPANG - Wira boccia negara, Chew Wei Lun yang mencipta kejutan merangkul pingat perak acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menyeru golongan orang kurang upaya (OKU) supaya tidak takut untuk mencuba.

Wei Lun yang merupakan pemain di ranking ke-11 dunia dan kelima terbaik Asia berkata, untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup, setiap individu harus memberanikan diri untuk mencuba.

Iklan
Iklan

"Harap mereka boleh memberanikan diri untuk mencuba, mana tahu satu hari nanti mereka pun boleh berjaya, dapatkan pingat juga, siapa tahu?” kata atlet kelahiran Johor berusia 26 tahun itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan pesanan kepada golongan OKU yang berdepan cabaran hidup berbeza dalam usaha untuk berjaya, pada sidang akhbar sambutan kepulangan Kontinjen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Jumaat.

Iklan

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Wei Lun ditinggalkan ibunya ketika berusia empat tahun dan dijaga oleh datuknya sebelum dihantar ke rumah jagaan kanak-kanak OKU pada usia sembilan tahun, demikian menurut https://olympics.com/tokyo-2020/paralympic-games/en/results/boccia/athlete-profile-n1392757-wei-lun-chew.htm.

Bagaimanapun, dengan keazaman yang tinggi dan berbekalkan semangat tidak mudah putus asa akhirnya membawa kepada kejayaan bersejarah di Tokyo, Jepun malah beliau mencipta sejarah sebagai atlet pertama Malaysia beraksi dalam sukan boccia di pentas Paralimpik.

Iklan

Sementara itu, Wei Lun berkata, beliau seakan tidak percaya kepulangannya ke tanah air disambut meriah.

"Tak sangka, saya rasa macam terlalu ramai sangat,” jelasnya dalam nada sebak.

"Perasaan saya sekarang masih macam tidak menyangka dapat bawa pulang pingat, sebab dari awal niat kita pergi sebab nak mempromosikan sukan ini (boccia) kepada rakyat Malaysia, itu saja,” katanya.

Ketibaan beliau dan rakan atlet antaranya jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama dua bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Dr Radha Krishnan Sinnathamby.

Pada aksi final di Ariake Gymnastics Centre Rabu lepas, Wei Lun tewas kepada juara bertahan David Smith dari Great Britain, 2-4, untuk menghadiahkan pingat perak kedua buat negara di temasya itu. - Bernama