KETUA Jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengharapkan sekembalinya kapten The Cops, Amir Saiful Badeli dan Nabil Ahmad Latpi mampu membantu skuad untuk meraih kemenangan ke atas Kuching City FC pada aksi Liga Premier, 4.45 petang ini.
Jelas Wan Rohaimi, kehilangan dua pemain itu pada aksi minggu lalu menentang Sarawak United FC menjejaskan perancangan apatah lagi penyerang importnya, Lazarus Kaimbi juga masih lagi dibelenggu kecederaan dan tidak dapat diturunkan menentang Kuching City.
Rohaimi bagaimanapun menegaskan berdepan anak buah Irfan Bakti bukan mudah kerana mereka semestinya enggan tercicir mata untuk merebut slot Liga Super selain PDRM juga menginginkan mata berharga memandangkan mereka hanya berbaki dua sahaja lagi perlawanan.
"Kita perlu bangkit dengan kemenangan selepas tewas kepada Sarawak United tempoh hari kerana sebelum itu kita konsisten tanpa tewas dalam tujuh aksi terdahulu.
"Saya boleh katakan perlawanan malam esok akan sengit tapi kita dapat lihat bagaimana Kuching City sekarang sedang mengharungi jadual padat dan mungkin mereka lebih penat.
"Jadi, bonus sedikit untuk kami dan pemain perlu cuba ambil kesempatan itu untuk merebut peluang yang ada bagi meraih tiga mata,” katanya.
Dalam masa sama, Rohaimi turut menegaskan meskipun sudah berada dalam zon selamat untuk kekal dalam saingan Liga Premier, namun baki dua perlawanan ini juga penting untuk mereka raih slot ke pentas TM Piala Malaysia
Ini kerana, jurang mata PDRM dengan Kelantan FC dan Kelantan United FC juga tidak besar dan sedikit kesilapan mampu menghalang sasaran mereka untuk berada dalam kelompok lima pasukan teratas tidak termasuk pasukan Reserve Team bagi layak ke TM Piala Malaysia.
"Kalau ikutkan dari segi kiraan mata, PDRM masih belum selamat dan kalau kita tewas dalam dua baki perlawanan ini, Kelantan dan Kelantan United masih ada peluang.
"Apa sahaja boleh berlaku dan sebab itu saya katakan kepada pemain, ini sahaja peluang yang kita ada untuk mencuri mata, dan kita kena cuba tewaskan Kuching City pada malam esok”, tambahnya.
PDRM FC kini di tangga kelima Liga Premier dengan 25 mata dan Kelantan FC di tangga ketujuh dengan 24 mata manakala Kelantan United di kedudukan kelapan dengan 20 mata.
Kuching City pula di tangga kesembilan dan masih mempunyai enam lagi perlawanan termasuk aksi tertunda dengan misi untuk merebut slot ke pentas Liga Super 2022.