LUAS kesan aliran air punca pencemaran bau

Iklan
Loy Sian

SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan siasatan aliran air di sump (takungan bahan buangan) berhampiran sebuah premis kilang di Sungai Rinching yang menyebabkan pencemaran bau hingga mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas pada Rabu.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata, pensampelan ujian bau yang dilaksanakan di sump mendapati terdapat bau seakan solvent (pelarut) dikesan di aliran pertemuan ke Sungai Rinching sekitar 16 kilometer (km) dari muka sauk Jenderam Hilir.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, LUAS juga melakukan pensampelan di kawasan muka sauk Jenderam Hilir bagi tujuan analisa Jabatan Kimia Malaysia (JKM).

"Penemuan terkini pada jarak 300 meter dari premis tersebut juga terdapat aliran air di sump yang mempunyai bau yang sama sebelum pelepasan ke Sungai Rinching," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Iklan

Loy Sian berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan pemantauan kualiti udara di takat pelepasan akhir premis disyaki dan telah mengesan beberapa parameter Sebatian Organik Meruap (VOC) yang baunya seakan dengan analisa dikeluarkan Air Selangor pada insiden 31 Ogos lalu.

"Susulan itu, JAS telah mengeluarkan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kepada premis disyaki di bawah Seksyen 38 (1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS) untuk siasatan lanjut selama dua minggu," katanya.

Iklan

Menurut Loy Sian, pemantauan rapi dari masa ke masa masih diteruskan oleh pihak LUAS bersama agensi berkaitan.

"Inisiatif pencegahan dipertingkatkan oleh LUAS dengan meletakkan 14 beg Activated Carbon (Serbuk Karbon Teraktif) di dua lokasi aliran sump berhampiran premis tersebut untuk mengawal sebarang pencemaran ke Sungai Semenyih," katanya.

Selain itu, katanya, LUAS juga telah menjalankan pemantauan statik dan pensampelan di dua kawasan iaitu di Jambatan Ladang Bukit Unggul dan Jambatan Kampung Rinching Hilir.

"Pensempelan ujian bau dijalankan setiap sejam yang dijalankan berdasarkan pemantauan statik menunjukkan keadaan air sungai kelihatan normal dan bacaan bau adalah sifar 0 ton," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini LUAS telah menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor berhubung insiden pencemaran bau sehingga tiga ton yang dikesan di River Monitoring Station (RMS) Kampung Sungai Buah, Dengkil pada jam 4 petang Jumaat.

Katanya, pemantauan Ops Sumber Air Negeri Selangor diurusetiakan oleh LUAS bersama agensi berkaitan seperti JAS, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Suruhanjaya Air Negara (SPAN) dan Air Selangor telah mengaktifkan siasatan ke beberapa lokasi bagi mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

"LUAS telah mengaktifkan kod erah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh ke kawasan terlibat di hulu muka sauk yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Semenyih.

Menurutnya, LUAS telah menyelaraskan bersama Air Selangor pelepasan air Empangan Semenyih sebanyak 227 juta liter sehari (JLH) dalam usaha untuk meningkatkan faktor pencairan dan flushing sungai bagi membolehkan pengoperasian LRA Semenyih dengan segera.

Justeru tegas beliau, LUAS tidak berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada pelaku selaras Seksyen 79(1) (a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020 yang mana sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200, 000 dan tidak melebihi RM1 juta.

"Kerajaan Selangor melalui LUAS akan terus komited dalam melaksanakan pemantauan 24 jam di lembangan sungai dalam memastikan kelangsungan sumber air di negeri ini dan meminta kepada semua agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai.

"Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama. Keprihatinan dan kerjasama semua pihak amat diharapkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Selangor alami gangguan bekalan air lagi