KOTA KINABALU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tidak meninggalkan rakan pembangkang, Parti Warisan Sabah (Warisan) sebaliknya hanya menyertai komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat nasional.
Perkara itu dijelaskan Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berhubung persoalan dan reaksi yang diterima apabila parti itu menyertai komponen PH pada 26 Ogos lalu.
Menurutnya, PH adalah alternatif kepada rakyat sebagai satu gabungan yang dipimpin parti-parti berbilang kaum dan UPKO mahu isu yang berlaku di Sabah harus dilihat sebagai isu di peringkat nasional.
"Kita ini blok pembangkang, Warisan juga berada di blok pembangkang dan kita masih bersama-sama bila di peringkat Sabah.
"Contohnya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Warisan), beliau adalah Ketua Pembangkang di Sabah, kita masih bersama-sama dengan beliau dan kita menjadi anggota di peringkat nasional supaya isu-isu di Sabah dapat diangkat ke nasional," katanya dalam webinar yang diadakan secara maya bersama Presiden PH pada malam Jumaat.
Tambah Ahli Parlimen Tuaran itu, langkah UPKO menyertai PH juga adalah untuk memperkukuhkan hubungan antara blok pembangkang di peringkat nasional.
"Kita di pembangkang jangan lagi berselisih faham, lebih baik kita terjemahkan untuk bersatu padu sebagai blok pembangkang dan sepatutnya kita gunakan tenaga ini untuk memperkukuhkan serta memperluaskan bilangan kita dalam blok pembangkang ini.
"Masa untuk kita menyertai ini adalah tepat di mana perlu kita bincang satu bentuk persetujuan dengan kerajaan sekarang. Jadi kita pun ada menyampaikan beberapa perkara diangkat oleh PH supaya dipertimbangkan sebagai satu bentuk kerjasama," katanya.
Sebelum itu, webinar bertajuk Kebersamaan UPKO Dalam PH turut dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.