MAFI sasar 250 lagi usahawan muda terima geran Agropreneur Muda

Iklan
Ahmad (tiga dari kanan) menyampaikan replika Geran Agropreneur Muda 2021 kepada penerima di Masjid Tanah, Alor Gajah pada Sabtu.

ALOR GAJAH - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan kira-kira 250 lagi usahawan muda untuk menerima manfaat Geran Agropreneur Muda sehingga penghujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, setakat ini dianggarkan seramai 500 usahawan sudah mendapat manfaat geran tersebut menerusi peruntukan sebanyak RM15 juta yang disalurkan kepada kementerian itu pada tahun ini.

Iklan
Iklan

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat baki peruntukan untuk usahawan muda memohon geran tersebut bagi membantu mereka memulakan projek pertanian.

"Kita menganggarkan kira-kira 750 usahawan yang akan menerima geran tersebut sepanjang tahun ini dengan menawarkan geran minimum sebanyak RM20,000 melibatkan pembelian peralatan seperti mesin dan sebagainya.

Iklan

"Setakat ini sejumlah RM10 juta telah disalurkan kepada 500 daripada 750 usahawan muda yang terdiri daripada pelbagai bantuan geran," katanya ketika sidang akhbar selepas mengagihkan Geran Agropreneur Muda 2021 sempena lawatan kerjanya di Villa D Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini pada Sabtu.

Muhammad Adli

Sementara itu, usahawan muda tanaman nanas, Muhammad Adli Zikry Rosdi, 22, berkata, geran bernilai RM20,000 yang diterima dapat membantunya membeli lebih banyak benih dan baja untuk tanaman selain mesin.

Iklan

Dia menyahut cabaran kerana minat dengan mengusahakan tanaman nanas MD2 di atas tanah seluas 0.6 hektar di Kampung Parit Melana, Durian Tunggal sejak tahun lalu.

"Dengan dibantu ayah, saya dapat mengusahakan kira-kira 16,000 pokok nanas dan dijangka akan mengeluarkan hasil pada penghujung Disember depan.

"Saya bersyukur terpilih menerima geran ini. Ia menjadi motivasi untuk saya lebih gigih menceburi bidang pertanian," ujarnya.

Seramai 33 usahawan negeri ini menerima insiatif berkenaan dengan peruntukan sebanyak RM660,000.