SHAH ALAM - Kerajaan telah menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) dan Kertas Konsultasi Awam (KKA) dalam memastikan proses penyediaan bajet lebih telus dan mengambil kira pandangan lebih ramai rakyat.⠀⠀
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rakyat kini berpeluang menyampaikan sebarang cadangan untuk Bajet 2022 melalui laman web yang disediakan.
"Hari ini (Sabtu) saya di pejabat dengan #TeamMOF. #Bajet2022 sudah dekat jadi usaha kami juga harus digandakan agar bajet ini dapat dirangka dengan lebih baik demi #KeluargaMalaysia. ⠀⠀
"Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan jika anda mempunyai sebarang cadangan berkenaan #Bajet2022, sila layari laman web KPB: https://mof.gov.my/pdf/siaran-media/Kenyataan-Pra-Bajet-2022.pdf dan KKA: https://www.mof.gov.my/ms/konsultasi-awam," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Belanjawan 2022 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini, yang akan memberi tumpuan untuk terus melindungi, memulihkan kehidupan, mata pencarian rakyat dan perniagaan.
Ia termasuklah membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan pasca-pandemik.
Belanjawan 2022 juga dirangka berdasarkan tiga keperluan utama dan turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik Covid-19 pada tahun hadapan.
Antara keperluan utama itu adalah meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Selain itu, menentukan kesinambungan dasar dengan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan.
Kerajaan juga akan memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan.