KOTA KINABALU - Kenderaan Perodua Myvi dan seorang mangsa yang hanyut di Sungai Kionsom semalam telah ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Kenderaan itu yang terperangkap di dasar Sungai Kionsom, Kampung Dambai, ditemui pada jam 7.20 pagi oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Menurut Ketua Operasi, Kenneth Willfred, mangsa ditemui terperangkap di tempat duduk penumpang.
Malah katanya, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan jengkaut daripada syarikat pembinaan berhampiran sebelum berjaya mengeluarkan kereta dan mangsa pada pukul 11 pagi ini.
"Kita berdepan kesukaran ekoran kedudukan kereta yang terperangkap di dasar sungai selain dipenuhi pasir dan batu sungai.
"Sejurus kereta berjaya dibawa aik, kita menemui seorang mangsa dalam lingkungan 37 tahun di tempat duduk penumpang. Manakala seorang lagi mangsa dipercayai pemandu kereta Myvi itu masih hilang,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Manakala, kumpulan kedua pula akan melakukan pencarian di dasar sungai kawasan Inanam Laut sehingga ke Kampung Dambai.
"Bagi kumpulan ketiga, mereka akan menggunakan bot aluminium untuk membuat pencarian menggunakan kaedah ‘surface searching’ bermula di kawasan sekitar lokasi ini hingga ke Yayasan Sabah,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian jam 6 petang semalam, kereta Perodua Myvi berkenaan dihanyutkan arus deras ketika cuba melalui jambatan konkrit di Jalan Kionsom Lama.
Pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sempat merakam detik cemas itu sebelum ditularkan di media sosial. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:Identiti mangsa dalam Myvi hanyut dikenal pasti
ARTIKEL BERKAITAN:Kereta Myvi lintas jambatan hanyut dibawa arus deras