KOTA BHARU - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi program Jalinan Digital Negara (Jendela), kadar liputan jalur lebar mudah alih yang ketika ini berada pada tahap 93 peratus akan dipertingkat sehingga 98 peratus.
"Program Jendela akan memastikan rangkaian 4G dapat diterima hampir semua rakyat, sekarang ini tahap liputan lebih kurang 93 peratus dan akan terus dinaikkan sehingga 98 peratus apabila Jendela Fasa Satu, yang menelan belanja kira-kira RM700 juta, siap tahun depan.
Iklan
Iklan
"Saya juga sedang memastikan Jendela Fasa Dua dapat dilaksanakan secara lebih cepat yang melibatkan peruntukan RM3.6 bilion, jadi apabila kedua-dua fasa dilaksanakan sepenuhnya, kira-kira 4,400 titik kehadiran (POP) yang kebanyakan berpusat di sekolah serta kawasan luar bandar akan memberi kualiti Internet yang lebih stabil dengan kelajuan lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Program CSR Prihatin Lembaga Hasil Dalam Negeri kepada 31 penerima di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Padang Kala, Peringat di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, bagi memastikan kejayaan Jendela, beliau akan memberi tumpuan kepada kaedah dan pelaksanaan program itu supaya lebih efisien serta berjalan lancar.
Katanya, POP terbabit seperti menara komunikasi dan capaian gentian fiber optik di bawah pelaksanaan pelan tindakan Jendela, yang menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara, dijangka disiapkan dalam tempoh 2021 hingga 2025. - Bernama