KABUL - Pengasas bersama Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar atau dikenali sebagai Mullah Baradar yang mengetuai pejabat politik gerakan itu disebut bakal memimpin pemerintahan baharu di Afghanistan, menurut tiga sumber pada Jumaat ketike pertempuran sengit sedang berlaku di kubu kuat penentang di Lembah Panjshir.
Gerakan berkenaan turut menamakan Mullah Mohammad Yaqoob yang merupakan anak kepada pengasas kumpulan itu, Mullah Omar dan Sher Mohammad Abbas Stanekzai untuk memegang jawatan kanan di bawah kepimpinan tersebut.
Pada Rabu, rangkaian berita ToloNews melaporkan Pemimpin Agung, Hibatullah Akhundzada akan memegang tampuk pemerintahan sama ada dilantik sebagai presiden atau perdana menteri.
Menurut jurucakap gerakan itu, kerajaan baharu ‘lebih toleransi’ adalah berdasarkan model pemerintahan Iran yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Kesatuan Eropah (EU) memaklumkan ia akan ‘menjalinkan hubungan’ dengan pemerintah baharu di Afghanistan bagi memindahkan rakyat tempatan yang berhasrat untuk meninggalkan negara itu ketika kumpulan Taliban kini sedang merancang untuk menubuhkan kerajaan.
Pengumuman itu dibuat Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell selepas mesyuarat para menteri luar blok berkenaan di Slovenia pada Jumaat.
"Ia tidak bermaksud ‘pengiktirafan’ kepada kerajaan baharu itu sebaliknya adalah ‘hubungan operasi’. Ia bagaimanapun bergantung kepada tingkah laku pemerintah baharu tersebut.
"Taliban juga perlu menzahirkan komitmen mereka sebelum ini untuk membenarkan rakyat asing dan warga tempatan yang ‘berisiko’ meninggalkan Kabul,” jelasnya.
Sementara itu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) juga menyatakan ia cuba kekal berhubung dengan Taliban untuk memindahkan lebih ramai warga Afghanistan selepas lapangan terbang di Kabul dijangka beroperasi semula dalam tempoh beberapa hari akan datang. - Agensi