DEBARAN peminat sukan tanah air akhirnya terhenti apabila kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran tiga pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo hari ini.
Kontinjen Malaysia nampaknya terpaksa menunggu sehingga malam ini bagi meraikan kejayaan berkenaan, selepas Abdul Latif Romly menyumbang emas ketiga negara menerusi acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) di Stadium Olimpik.
Abdul Latif tidak menunggu lama untuk mengesahkan emas keduanya selepas Rio 2016, menerusi catatan pada lompatan pertama sejauh 7.26 meter (m) sebelum meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan terbaiknya, 7.45m pada percubaan berikutnya.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Perlis itu tidak berjaya melengkapkan lompatan terakhirnya pada percubaan keenam, selepas mengalami kecederaan di bahagian kaki sejurus lompatan kelima dengan catatan 5.56m.
Situasi itu menyebabkan beliau terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.
Atlet Greece Athanasios Prodromou merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu Nicholas Hum dari Australia untuk memenangi gangsa.
Sementara itu, sejarah baharu sukan negara tercipta di Yoyogi National Stadium apabila juara dunia enam kali Cheah Liek Hou, muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu kali ini.
Pemain nombor dua dunia itu menewaskan seteru utamanya Dheva Anrimusthi, yang juga pilihan utama dari Indonesia, 21-17, 21-15, pada hari keempat acara badminton, untuk menghadiahkan emas kedua Malaysia di Jepun.
Terdahulu, Liek Hou, 33, berdepan detik mencemaskan apabila tewas pada set pertama 15-21, kepada pemain Taiwan Fang Jen-Yu, sebelum mempamerkan kebangkitan memenangi set sedua dan set penentuan 21-10, 21-16, dalam aksi separuh akhir pagi tadi, bagi mengesahkan slot ke akhir.
Seorang lagi pemenang pingat emas Malaysia ialah jaguh powerlfiting Bonnie Bunyau Gustin, manakala Jong Yee Khie (powerlifting) dan Chew Wei Lun (boccia) pula meraih perak.
Dalam pada itu, keadaan trek licin akibat hujan renyai di Stadium Olimpik menyekat kemaraan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, untuk mempertahankan emas acara 100m lelaki T36 (kecacatan fizikal) dalam sesi pagi acara olahraga.
Mohamad Ridzuan yang memulakan larian dengan baik pada 50m pertama, mengakui keadaan itu menyebabkan beliau hampir terjatuh pada 10m terakhir perlumbaan dan tidak berupaya mencabar kedudukan pingat.
Pelari China Deng Peicheng membuat kejutan apabila meraih kejayaan berganda menerusi emas selain memecahkan rekod Paralimpik milik jaguh Australia James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87 saat (s), dengan rekod baharu 11.85s dalam aksi final.
James terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s manakala gangsa milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.
Seorang lagi wakil negara Wong Kar Gee, yang bertanding dalam acara lompat jauh lelaki T13 (kecacatan penglihatan) terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan pada lompatan keempat dalam aksi sulungnya di pentas Paralimpik.
Atlet Azerbaijan Orkhan Aslanov, meraih emas dengan lompatan terbaik 7.36m, perak dimenangi Ivan Jose Cano Blanco dari Sepanyol (7.04m) manakala gangsa dimenangi atlet Amerika Syarikat Isaac Jean-Paul (6.93m).
Tiada atlet Malaysia yang akan beraksi pada hari terakhir temasya esok. - Bernama