Istimewanya seni halus

Iklan
Rumah kampung gabungan kayu dan batu juga merupakan hasil seni yang diwarisi turun-temurun.

SENI halus ialah satu proses membuat atau menghasilkan objek serta barangan melalui kreativiti dan kehalusan hasil kerja tangan yang sangat tinggi.

Seni halus telah sekian lama mewarnai kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Ia diwarisi melalui pembelajaran turun-temurun daripada generasi ke generasi yang kaya dengan warisan seni halus ini.

Iklan
Iklan

Seni halus dibahagikan kepada busana, tekstil dan seni hias diri manakala kraf adalah satu kerja seni untuk menghasilkan sesuatu barangan. Ia meliputi anyaman, motif ukiran, sulaman, tekat, tenunan, seramik serta logam.

Antara seni yang begitu berkait rapat dengan masyarakat pelbagai kaum ini ialah seni ukiran pada rumah kediaman dan masjid, pembuatan tembikar atau seramik, pembuatan batik, anyaman tikar mengkuang, tenunan songket, tekatan perak dan emas, pua kumbu, kain destar dan kain tenun, manik, penghasilan tembaga, perhiasan diri dan berbagai-bagai seni halus yang lain.

Iklan

Motif penghasilan seni halus ini pula dipengaruhi oleh alam sekeliling seperti flora dan fauna, kaligrafi serta astronomi.

Hasil seni halus ini juga memaparkan ketinggian serta kepandaian si penghasil yang menghasilkan kerja tangan tradisional yang begitu halus dan bernilai tinggi.

Iklan

Setiap penghasilan kerja seni juga mempunyai falsafahnya yang tersendiri.Orang selalu berpendapat bahawa seni adalah satu cabang ilmu yang abstrak.

Setiap pengkarya dan artisan menghasilkan karya dengan menggunakan daya imaginasi dan kebolehan mereka untuk melukis subjek-subjek yang cantik.Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa golongan penggiat seni ini berkerja dengan minda dan idea; tidak banyak menggunakan tenaga dan kerja berat - dari situ munculnya istilah"seni halus” atau"fine arts”.

Orang seni

Orang seni selalu dipandang sebagai orang yang selalu bersendiri, berselindung dan cuba mengelak daripada dilihat di tempat awam.

Setiap hasil karya mereka adalah amat eksklusif, seolah-olah hasil karya mereka perlu ditutup dan dijaga seperti mereka menjaga aurat sendiri. Orang seni dikatakan amat sensitif dan mudah terguris hatinya.

Tetapi semua persepsi dan tanggapan ini tidak benar sama sekali. Jika golongan artisan ini merupakan golongan yang pemalu dan sensitif, masakan ada penyanyi dan pelakon yang sering muncul di kaca televisyen atau terpapar di dada akhbar.

Pernah dengar penyanyi yang malu hendak menyanyi atau pelakon yang malu berlakon?

Jika semua golongan artis dan pengkarya seni adalah sensitif dan mudah menangis, itu tidak bermakna mereka mempunyai hati yang lembut dan mudah terguris perasaan.

Jika mereka mampu menguasai emosi tersebut pula ia bermakna seniman tersebut menjiwai karya itu dengan hebat sekali.

Kebanyakan salah faham dan tanggapan negatif biasanya berlaku apabila tiada pemahaman antara kedua-dua belah pihak.

Jika ada yang mahu mendalami kehidupan dan jiwa seorang pengkarya seni, atau ada yang mahu menjadi seniman atau karyawan pada suatu hari nanti, ada baiknya jika kita buang segala stereotaip serta prasangka dan mula melangkah ke dunia seni halus.

Apakah elemen seni yang dijadikan sebagai bahasa seni halus? Kata orang tua-tua, tak kenal maka tak cinta. Macam mana hendak kenal? Kita kenal menggunakan bahasa.

Apabila kita cuba memahami dan mentafsirkan seni, kita perlu berbicara dengan bahasa seni. Dalam bahasa seni, kita menggunakan apa yang disebut sebagai elemen seni.

Seni sukar ditakrifkan, sebagaimana ia sukar dinilaikan, disebabkan setiap artis memilih peraturan dan tatarajah tersendiri untuk menentukan karyanya.

Masih boleh dikatakan bahawa seni adalah proses dan hasil pemilihan medium, set aturan untuk penggunaan medium tersebut dan set nilai yang menentukan apa yang berhak digambarkan melalui medium tersebut, agar dapat menyampaikan sama ada kepercayaan, idea, rasa dan perasaan dalam bentuk paling berkesan bagi medium tersebut.

Garis panduan

Walaupun ramai pengkarya terikut-ikut artis terdahulu dan sebagainya, beberapa garis panduan telah muncul untuk menetapkan bagaimana gambaran idea tertentu boleh dihasilkan atau diluahkan melalui simbol, warna atau bentuk, sebagai contoh merah tanda berhenti pada lampu isyarat.

Setiap orang mempunyai pendapat tersendiri mengenai apa yang boleh dianggap seni; misalnya, adakah seseorang boleh menghasilkan seni sekiranya ia tidak bertujuan sebagai hasil seni?

Adakah seni merupakan bentuk luahan seseorang? Adakah hasil seni dianggap seni hanya apabila ia sempurna?Semua itu terletak pada diri mereka sendiri apa maksud yang tersirat di sebalik sesebuah karya yang mereka hasilkan, dalam erti kata lain nilai ‘estetika’ di sebalik sesebuah karya yang dipanggil ‘seni’.

Jika seseorang pengkarya telah menguasai seni halus secara keseluruhan, mudah untuk pengkarya menghasilkan karya seni mereka kerana pilihan elemen yang sangat banyak untuk mereka menghasilkan sesebuah karya.

Dalam erti kata lain, medium untuk meluahkan perasaan dengan menggunakan karya seni itu lebih luas dan mudah disampaikan kepada penonton.

Ramai yang tak tahu bahawa terdapat banyak institusi pengajian tinggi di Malaysia yang menawarkan kursus seni halus.

Antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak lagi.

Terdapat beberapa cabang bidang dalam kursus seni halus yang boleh diikuti penuntut sesebuah institusi.

Mereka dikehendaki melalui tiga semester yang pertama dan akan diberi peluang memilih aliran pilihan mereka sama ada lukisan (painting), seni cetak (print-making) atau arca (sculptor).

Bagaimanapun, pelajar juga akan belajar aliran yang lain tetapi hanyalah sekadar asas untuk mereka menguasai semua bidang dalam seni halus.

* Muhammad Amirul Amin Abdul Rahim ialah Eksekutif Pengisian Kandungan Digital Sinar Harian