ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Penggiat industri pelancongan di Langkawi akan menawarkan pakej pelancongan norma baharu dengan mengawal kemasukan jumlah pengunjung bagi mengelakkan kesesakan di pusat tumpuan pelancong.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, ia bagi mengelak berlakunya kes import Covid-19 seterusnya mengekang kewujudan kluster pelancongan apabila pulau peranginan itu dibuka semula di bawah program gelembung pelancongan pada 16 September ini.
Beliau berkata, kemeriahan bercuti mungkin tidak semeriah dahulu, namun pihaknya amat menitikberatkan amalan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat yang perlu dipatuhi oleh pelancong dan penggiat industri.
"Langkawi secara umumnya telah bersedia daripada aspek fizikal mahupun mental untuk menerima kedatangan pelancong.
"Semua penggiat industri siap sedia menawarkan aktiviti pelancongan namun keadaannya tidak sama seperti dahulu. Antaranya ialah LTA menetapkan untuk mengehadkan tempat tarikan utama agar persekitaran tidak sesak dalam usaha kita mengawal penularan wabak,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Zainudin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat mana-mana pihak ingkar dengan SOP pelancongan, selain tidak teragak-agak untuk membatalkan operasi premis berkenaan.
"Kita tidak mahu selepas dibuka kepada pelancong, wujud pula kluster Langkawi. Saya harap semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk bersama-sama menjaga keselamatan penduduk termasuk pelancong.
"Pemantauan akan dibuat oleh pasukan khas bawah LTA menerusi pemeriksaan mengejut di semua tempat pelancongan supaya dalam keadaan terkawal,” jelas beliau.
ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong tempatan: PM
Malaysia Airlines tawar penerbangan ke Langkawi mulai 16 September
Sementara itu, Zainudin berkata, LTA sebelum ini turut mencadangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membuka pintu masuk ke Langkawi secara berperingkat.
"Kita syorkan supaya bermula 1 hingga 15 September, aktiviti pelancongan hanya dibuka kepada penduduk setempat, manakala bermula 15 September diperluaskan kepada penerima lengkap dua dos suntikan vaksin, seterusnya kepada pelancong antarabangsa selepas Malaysia mencapai imuniti kelompok sekitar pertengahan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan secara tiga fasa ini mampu memberi tempoh secukupnya untuk sektor pelancongan Langkawi kembali pulih seperti sediakala.
Sementara itu, seorang penduduk, Normardiana Che Mazlan, 32, menyambut baik pembukaan semula Langkawi kepada pelancong luar berikutan lebih 80 peratus sumber pendapatan penduduk pulau legenda itu adalah daripada sektor pelancongan.
"Sebahagian besar penduduk mahu sektor pelancongan dibuka semula namun dengan SOP yang diperketatkan.
"Kami mahukan Langkawi seperti dahulu, sama ada sektor perhotelan, agensi pelancongan atau pemandu teksi mereka mengharapkan sektor pelancongan dirancakan semula,” katanya.
Menurutnya, sekiranya pintu masuk ke Langkawi terus ditutup ia tidak dapat menyelesaikan peningkatan kes positif Covid-19 kerana pematuhan SOP yang perlu diberi perhatian.
"Lebih baik buka sektor pelancongan dan sediakan SOP khusus lebih ketat di semua tempat pelancongan dan kedai makan. Semua pihak perlu bantu kami bangkit semula dan jayakan projek perintis pelancongan ini,” katanya.