KUANTAN - Seorang wanita warga Thailand kerugian RM2,300 selepas menjadi mangsa penipuan jual beli emas tidak wujud yang diiklankan melalui Facebook Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, peniaga kuih berusia 34 tahun itu tertarik untuk membeli seutas rantai kaki berharga RM300 yang diiklankan.
Menurutnya, mangsa menghubungi penjual suspek) dan bersetuju untuk membeli barang kemas itu pada harga yang ditawarkan dan membuat bayaran pada Rabu melalui akaun bank atas nama seorang lelaki.
"Selepas bayaran dibuat, suspek berjanii akan menghantar barang kemas itu pada hari berikutnya," katanya melalui satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang individu memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat kurier dari Johor Bahru meminta wanita itu membuat bayaran RM2,000 sebagai wang jaminan sementara.
"Mangsa membuat bayaran seperti yang diminta ke akaun bank yang diberikan atas nama individu berbeza.
"Pada petang hari yang sama, mangsa dihubungi pekerja syarikat kurier tersebut meminta dia membuat bayaran RM2,000 lagi atas alasan kiriman atas namanya itu terbabit dengan kes polis," katanya.
Menurutnya, mangsa tidak mempunyai wang untuk membuat bayaran itu lalu mengambil keputusan membatalkan pembelian dan minta wangnya dikembalikan.
"Mangsa diminta menjelaskan dulu bayaran tersebut sebelum proses pemulangan kembali wangnya dilakukan.
"Wanita itu mula mengesyaki telah ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab pada Sabtu," katanya.
Tambah beliau, hasil semakan ke atas nombor akaun yang digunakan mendapati salah satunya turut dikaitkan dengan lima laporan polis berhubung kes tipu sebelum ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.