Pengurusan PAFA, Perak FC dinasihat letak jawatan

Iklan
Sejak Liga Super diperkenalkan 2004, ini kali pertama Perak FC diturunkan ke Liga Premier setelah tewas 1-2 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat pada Jumaat. - Foto Melaka United Football Club (Gambar kecil: Muhamad Alif Asyraf, Syamsul Baharin Putra)

PENYOKONG Perak FC menyifatkan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mahupun Perak FC yang bertanggungjawab perlu melepaskan jawatan masing-masing susulan kegagalan memastikan The Bos Gaurus kekal bersaing dalam Liga Super.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Perak (Perak FC TBG Mobs), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, tiada perancangan rapi pengurusan PAFA mahupun Perak FC disifatkan antara kelemahan penyumbang kemerosotan prestasi pasukan.

Iklan
Iklan

Menurut Syamsul Baharin, Perak FC berdepan masalah apabila difahamkan tidak dapat mencari dana sehingga menyebabkan tunggakan gaji pegawai dan pemain selain perpindahan beramai-ramai pemain utama ke pasukan lain.

"TBG Mobs sedih dengan keputusan semalam (Jumaat) dan semua tahu kegagalan Perak tahun ini bermula sejak awal lagi dengan perubahan kepimpinan PAFA diikuti pengunduran Ketua Jurulatih, Mehmed Durakovic dan kemudiannya kepincangan pengurusan Perak FC. Seharusnya pengurusan yang sedia ada ini perlu lebih serius dalam penyusun strategi dalam pasukan.

Iklan

"Seluruh pengurusan sama ada PAFA atau Perak FC, pegawai, dan pemain perlu bertanggungjawab. Mereka perlu melepaskan jawatan masing-masing agar pihak yang betul-betul mampu menguruskan Perak FC diberi peluang untuk menguruskannya," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Syamsul Baharin Putra berkata, penyokong berpandangan pengurusan Perak FC perlu dirombak keseluruhannya dan diambil alih oleh pihak yang benar-benar berkemampuan.

Iklan

Katanya, pihak berkenaan perlu mempunyai keberanian menguruskan Perak FC dari segi perancangan perjalanan pasukan, perolehan dana sehinggalah ke pengurusan pasukan.

"Mungkin sudah tiba masanya kita terpaksa melepaskan Perak FC kepada pihak tertentu seperti tokoh-tokoh korporat atau mereka yang betul-betul berminat menguruskan Perak FC.

"Mungkin pasukan Perak boleh memohon agar pihak istana menerajui semula PAFA dan Perak FC," katanya.

Sementara itu, penyokong, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim berkata, pengakhiran Perak FC ketika usia pasukan bola sepak Perak 100 tahun tersingkir ke Liga Premier nyata mengecewakan.

Bagaimanapun katanya, sudah sampai masanya pasukan kembali diperkukuhkan dengan pemain muda berpotensi dengan memperkemas akar umbi.

Dia percaya bahawa Perak tidak pernah ketandusan bakat tetapi memerlukan perancangan rapi untuk menggilap potensi pemain yang ada.

Jelasnya, Perak FC perlu ada blueprint jangka masa panjang yang sesuai dengan keadaan untuk memastikan pasukan kembali disegani.