SHAH ALAM - Serangan bertubi-tubi PH kepada Pas sepanjang tempoh PRK DUN Semenyih didakwa ‘berkesan’ apabila parti Islam itu tidak mendapat walaupun satu undi.
Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad membuat sindiran itu menerusi status dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, malam tadi.
"Serangan bertubi-tubi PH terhadap Pas pada PRK Semenyih ternyata berkesan kerana Pas tidak mendapat walaupun satu undi,” tulisnya ringkas.
PRK DUN Semenyih menyaksikan BN meletakkan calonnya, Zakaria Hanafi selepas Pas memberi laluan kepada parti itu untuk berdepan PH.
Turut bertanding pada PRK DUN Semenyih, Kuan Chee Heng mewakili parti Bebas dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).
Keputusan semalam menyaksikan Zakaria menang dengan meraih 19,780 undi menentang tiga pencabarnya dengan majoriti 1,914 undi.
PRK DUN Semenyih dilaksanakan selepas kematian penyandang Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihanraya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, kemenangan di Semenyih adalah kemenangan Ummah.
Menurutnya ia juga menunjukkan referendum rakyat yang menolak penipuan dan fitnah yang melampau.
"Paling utama tuntutan rakyat mahu melihat Pas dan UMNO duduk bermuafakat dan bekerjasama telah termakbul. Jangan persia tuntutan ini.
"Semenyih memberi isyarat jelas dan tegas, Orang Melayu Islam perlu bersatu dan Pas serta UMNO adalah tonggak kekuatannya yang dinanti-nantikan. Semenyih bukan penutup tetapi permulaan kebangkitan rakyat yang bakal merobohkan keangkuhan dan kesombongan PH didominasi DAP itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Roslan yang juga Pengarah Operasi Pas PRK Semenyih sebelum itu berkata, tugasnya berat dan penuh mencabar namun sarat mengumpul pengalaman dan iktibar yang sungguh bernilai.
Katanya, menjadi jentera sokongan membantu Jentera UMNO/BN dalam PRK adalah sesuatu yang baru sekali gus menambah tugas berat perlu dipikul.
"Selama 60 tahun lebih Pas berbalah dengan UMNO di gelanggang politik, tiba-tiba di Semenyih Pas diarah membantu UMNO.
"Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, namun bacaan politik pimpinan tertinggi yang pastinya dihasilkan dari menelaah hukum dan maslahah insy-ALLAH punya hikmah.Yang penting ikhlas, sabar dan istiqamah,” katanya..
Beliau berkata, jentera UMNO ternyata faham kepentingan kerjasama demi masa depan politik kedua parti di samping membela nasib dan masa depan ummah yang semakin terancam.
"Rakyat di luar pula khasnya pengundi Melayu Islam Semenyih rupanya menunggu-nunggu kerjasama ini barangkali sepanjang 60 tahun lalu.
"Di Semenyih tembok permusuhan kedua parti roboh buat pertama kali atas keinsafan untuk bangkit memperjuang dan membela nasib dan maruah ummah,” katanya.