ECERDC rintis pengenalan industri 4.0 kepada pelajar

Iklan
Ahmad semasa Sesi Temu Bual Mesra Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 baru-baru ini.

SHAH ALAM - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melaksanakan Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 melibatkan 3,095 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah program empower ECER di negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Aplikasi Web yang dibangunkan oleh Asia Center of Excellence for Smart Technologies (ACES) di bawah ECERDC itu bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang teknologi Industri 4.0 (I4.0) kepada pelajar berkenaan hala tuju kerjaya berkaitan Industri 4.0 selepas tamat alam persekolahan.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACES, Datuk Ragu Sampasivam berkata, aplikasi web ACES I4.0 mengandungi pelbagai input yang relevan dengan industri 4.0.

Beliau berkata, ia turut mempunyai modul pembelajaran berkonsepkan gamifikasi untuk pembelajaran yang lebih berkesan dan menarik.

Iklan

"Selain itu, aplikasi ini turut meningkatkan pengetahuan asas teknologi maklumat (ICT) dan juga memberi pendedahan awal kepada peserta tentang perkembangan teknologi I4.0 yang semakin pesat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Ts Dr Roziah Mohd Janor berkata, beliau bersetuju penggunaan aplikasi web ACES I4.0 yang dibangunkan oleh pihak ACES secara tidak langsung membuka minda generasi milenial tentang revolusi industri yang dijangkakan penggunaannya akan semakin pesat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Iklan

Menurutnya, pada masa akan datang, konsep ‘paperless’, automasi dan robotik dijangka diterapkan pada semua aspek secara menyeluruh terutamanya di sektor perkilangan, perkhidmatan dan penghasilan sumber asli.

"Oleh itu, program seumpama ini wajar diadakan pada tahun-tahun akan datang agar dapat memberi semangat dan pengetahuan luas tentang I4.0 bagi membantu meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) menerusi peningkatan tahap pendidikan.

"Malah, ia juga selari dengan matlamat pelaksanaan program empower ECER, Latihan Akademik dan juga visi ACES iaitu membolehkan peluang sama rata bagi menerapkan pengetahuan mengenai I4.0 dalam kalangan belia.

"Program ini juga membantu mereka dalam pemilihan kerjaya masing-masing, seiring dengan usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosioekonomi warga tempatan," katanya.

Di Kelantan, kira-kira 200 daripada 1,084 pelajar terlibat dalam program rintis tersebut menyertai sesi bual mesra bersama Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob pada 15 Ogos lalu.

Majlis yang berlangsung secara maya itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat; Roziah dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Profesor Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail.

Sesi ‘Train The Trainers (TTT)’ juga turut dilaksanakan oleh ACES bersama Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Professional (iCEPS - UiTM) bagi membolehkan pihak iCEPS-UiTM menjalankan kelas latihan secara berjadual dalam talian sepanjang bulan Julai 2021 untuk peserta di jajahan Tumpat, Machang, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelajar, pengisian aplikasi web itu berupaya mencetuskan semangat baharu dan minat peserta program terhadap pelaksanaan Industri 4.0 di Malaysia.