KEKURANGAN pilihan dan tiada pemain berkualiti di bangku simpanan Liverpool menjadikan pasukan itu tidak layak untuk dilabel sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Bekas penyerang Aston Villa yang kini menjadi pemerhati bola sepak, Gabriel Agbonlahor berkata, Liverpool ketinggalan jauh berbanding Chelsea dan Manchester City malah dia juga melihat pemain di bangku simpanan The Reds hanya layak dilabel sebagai kelab pertengahan liga.
"Liverpool memiliki kesebelasan utama yang bagus namun jika pemain utama mereka mengalami kecederaan, maka pasukan itu akan berada dalam masalah besar. Ia kerana pemain di bangku simpanan sama seperti pasukan di kedudukan ke-10 dalam liga.
"Anda boleh lihat ketika menentang Chelsea dan hanya ada Naby Keita, Alex-Oxlade Chamberlain dan Takumi Minamino. Dia membawa masuk Kosta Tsimikas untuk gantikan Andy Robertson. Itu hanya pilihan yang dia ada untuk cuba menang perlawanan itu.
"Dengan pemain yang mereka ada di bangku simpanan seperti Chamberlain dan Minamino, mereka tidak mampu untuk menyaingi pasukan lain. Pemain di bangku simpanan Liverpool akan memberikan kesan besar kepada pasukan," katanya.
Skuad kendalian Jurgen Klopp itu memulakan kempen baharu EPL dengan dua kemenangan ke atas Norwich City dan Burnley sebelum seri 1-1 dengan juara Eropah, Chelsea yang bermain dengan 10 pemain pada 29 ogos lalu.
The Reds memang tidak melakukan pembelian besar dengan hanya merekrut pertahanan tengah, Ibrahima Konate pada jendela perpindahan musim panas.
Ia bermakna Klopp akan terus menggunakan pasukan yang sama musim lalu dan cuma mendapat kembali pemain utama di bahagian pertahanan yang sebelum ini mengalami kecederaan seperti Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip.
Dalam pada itu, Agbonlahor juga percaya Chelsea dan Manchester City akan bersaing sesama mereka untuk merebut kejuaraan EPL dengan The Blues menjadi calon pilihan untuk menjulang trofi tersebut.
"Pemain baharu City, Jack Grealish memberikan dimensi berbeza kepada pasukan it dan memberikan pasukan kualiti yang lebih baik. Mereka juga ada Gabriel Jesus yang telah menunjukkan keupayaannya musim ini.
"Namun, bagi saya, Chelsea merupakan pasukan yang paling kuat dan saya rasa mereka akan mampu singkirkan City dan bergelar juara musim ini," katanya.