Cemas punca lelaki memandu secara melulu

Iklan
Tangkap layar video tular berhubung kejadian sebuah kereta yang masuk ke ruang berhampiran wad kecemasan HRPB Ipoh pada Sabtu.

IPOH - Rasa panik dan cemas menyebabkan seorang lelaki memandu kereta secara melulu hingga memasuki ruang berhampiran wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Sabtu.

Kejadian pada jam lebih kurang jam 11.30 malam itu dipercayai berlaku ketika lelaki terbabit mahu menghantar bapanya untuk mendapatkan rawatan selepas diserang sakit jantung.

Iklan
Iklan

Keadaan itu turut menimbulkan sedikit kekecohan apabila lelaki terbabit keluar daripada kenderaan dalam keadaan menjerit-jerit meminta bantuan pihak hospital.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang perlanggaran dan kecederaan orang awam mahupun kerosakan harta benda awam.

Iklan

Menurutnya, ketika kejadian pemandu terbabit berada dalam keadaaan panik dan cemas kerana membawa bapanya yang diserang sakit jantung.

"Lelaki terbabit telah ditenangkan dan diminta oleh petugas hospital untuk mengalihkan kereta ke bahagian tempat letak kenderaan awam.

Iklan

"Pesakit juga telah dimasukkan ke wad untuk rawatan hingga sekarang," katanya yang memberitahu tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian itu setakat ini.

Kejadian berkenaan sempat dirakam orang awam dan kemudiannya tular di media sosial.

Video berdurasi 54 saat itu memperlihatkan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berhenti di ruang berhampiran bahagian kecemasan hospital sebelum seorang lelaki dalam keadaan cemas keluar dari kenderaan dan menjerit meminta pertolongan.

Kelihatan juga petugas hospital tiba bersama katil pesakit menghampiri kenderaan itu dan kemudian membawa pesakit terbabit masuk ke wad kecemasan untuk mendapatkan rawatan.