LEMBAH BERINGIN - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di KM406.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara, kira-kira jam 3.30 pagi semalam.
Remaja berusia 19 tahun itu, Muhammad Khairil Danial Hamidon, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, bas exspres Eltabino dan kereta Perodua Viva.
Menurutnya, kemalangan berlaku semasa motosikal terbabit dalam perjalanan dari Bukit Beruntung ke Ulu Bernam.
"Sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut hilang kawalan dan melanggar belakang Perodua Viva dipandu lelaki berusia 23 tahun di lorong tengah jalan.
"Perlanggaran menyebabkan penunggang motosikal terjatuh di lorong kanan dan pada masa sama terdapat sebuah bas ekspres dari arah belakang lorong berkenaan.
"Bas ekspres dipandu lelaki berusia 36 tahun membawa penumpang, tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal ditunggang remaja terbabit," katanya.
Bak Phai berkata, remaja beralamat di Apartmen Kenanga Bukit Beruntung itu meninggal dunia di tempat kejadian dengan keadaan motosikal remuk teruk dan tersangkut di bawah bas ekspres berkenaan.
Menurutnya, pemandu bas ekspres berserta penumpang dan pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.