YAN - Kementerian Dalam Negeri tidak mempunyai masalah untuk memastikan semua kakitangan di bawah agensi seliaannya menerima vaksin seperti ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mereka merupakan petugas barisan hadapan yang sepatutnya menjadi antara orang pertama yang mendapat suntikan vaksin.
Katanya, secara purata, jumlah kakitangan di bawah KDN yang telah divaksin setakat ini telah melebihi 80 peratus dan akan memenuhi sasaran dalam masa terdekat.
"Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), kami telah mencapai 91 peratus vaksinasi, Jabatan Penjara Malaysia hampir 100 peratus dan bagi pegawai KDN sendiri sudah mencapai 96 peratus," katanya ketika membuat tinjauan di sekitar kawasan Peranginan Titi Hayun dalam Program KDN Prihatin di sini pada Ahad.
Menurutnya, tindakan yang bersesuaian juga akan diambil sekiranya terdapat pegawai yang enggan menerima vaksin.
"Kalau ada seorang dua (yang enggan divaksin) kami akan ambil tindakan sewajarnya kerana mereka adalah 'frontliner', jadi tidak sepatutnya wujud isu sebegini," katanya.
Sementara itu,dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, agensi penguatkuasaan di bawah KDN tidak harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama apabila semakin banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat.
"Semua pihak harus memainkan peranan bersama dengan menjadikan amalan mematuhi SOP sebagai perkara biasa, apatah lagi sekiranya wabak Covid-19 diumumkan sebagai endemik nanti.
"Ini supaya agensi kami dapat memberi fokus kepada aspek keselamatan negara yang lebih penting seperti mengawal sempadan, jaga pintu masuk, jaga mereka yang cuba ceroboh bawa dadah dan sebagainya," katanya.